Selasa, 22 Oktober 2019 | 6:15pm
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh (tiga dari kiri) bergambar beramai bersama Pengarah Tollyjoy Corporation, Mark Tan (tiga dari kanan) pada Majlis Tollyjoy Corporation berkerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Jaya One dan OrphanCare Foundation selepas melancarkan ‘Partners in Parenting’ di PPSA Jaya One. - Foto Rosela Ismail
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh (tiga dari kiri) bergambar beramai bersama Pengarah Tollyjoy Corporation, Mark Tan (tiga dari kanan) pada Majlis Tollyjoy Corporation berkerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Jaya One dan OrphanCare Foundation selepas melancarkan ‘Partners in Parenting’ di PPSA Jaya One. - Foto Rosela Ismail

Taska agensi bertugas syif perlu disegerakan

PETALING JAYA: Kerajaan akan mempercepatkan proses pembinaan 180 hingga 200 taman asuhan kanak-kanak (Taska) di bangunan kerajaan terutama membabitkan agensi yang mana kakitangannya perlu bekerja secara waktu giliran atau syif.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata kemudahan dimulakan di sektor awam memandangkan lebih 540 bangunan agensi itu di seluruh negara belum menyediakan kemudahan berkenaan.

Beliau berkata, kemudahan disediakan menerusi peruntukan seperti dibentangkan pada Belanjawan 2020 menerusi nilai agihan berjumlah RM30 juta.

“Tahun ini, 66 taska baharu di bangunan kerajaan disediakan dengan peruntukan RM10 juta berbanding sasaran awal 50. Keutamaan diberikan kepada agensi badan seragam yang bekerja syif seperti jururawat, polis dan bomba.

“Kita juga menyediakan kemudahan sama untuk kakitangan barisan hadapan lain termasuk doktor dan warden penjara yang perlu bertugas syif.

“Ini kerana taska di luar ditutup pada jam 5 dan 6 petang, berikutan keadaan itu, perlu ada taska yang beroperasi sepanjang masa bagi memudahkan kakitangan yang bekerja syif,” katanya pada majlis Pelancaran Platfrom Pendidikan sempena Hari Bayi Tolly Joy 2019, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Suzliana Abd Hamid serta Pengarah Tolljoy Corporation, Mark Tan.

Pada masa sama, Yeoh berkata, masyarakat perlu mengubah mentaliti bahawa keperluan taska hanya untuk golongan ibu.

“Agensi kerajaan seperti polis yang ramai lelaki juga memerlukan kemudahan taska. Ini bagi membolehkan mereka membawa anak di taska tempat kerja kerana tugas mendapatkan perlindungan anak juga tanggungjawab bapa,” katanya.

Mengulas cuti paterniti pula, Yeoh berkata pihaknya memberi sokongan itu kerana cuti tiga hari kepada kakitangan swasta memandangkan kemudahan berkenaan penting untuk pembangunan keluarga.

Beliau berkata, proses pengurusan keluarga tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Penjawat awam sudah mendapat cuti paterniti tujuh hari, diharapkan rakan mereka di sektor swasta menikmati kemudahan sama walaupun pada cadangan tiga hari.

“Ini kerana pada minggu pertama kelahiran, wanita memerlukan bantuan suami terutama yang melahirkan secara pembedahan, komplikasi penyakit mahupun anak menghidap jaundis.

“Bagi yang ada lebih seorang anak, suami perlu ada bagi memastikan keperluan anak lain turut disempurnakan,” katanya.

Berita Harian X