Rabu, 27 September 2017 | 5:16pm
PENGARAH Reaktor Agensi Nuklear Malaysia, Datin Zarina Masood (dari kiri), Pengarah Bahagian Pembangunan Sumber Manusia Agensi Nuklear Malaysia, Rapieh Amin Nuddin, Strategi-in Rseidence UKM, Dr Fatimah Mohd Amin dan Pengarah Bersekutu Seliaan dan Perundungan Nuklear Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia, Azlina Mohd Jais semasa Forum Sumbangan Wanita Terhadap Program Nuklear Kebangsaan 2017 di UNITEN, Bangi. - Foto Rosela Ismail
PENGARAH Reaktor Agensi Nuklear Malaysia, Datin Zarina Masood (dari kiri), Pengarah Bahagian Pembangunan Sumber Manusia Agensi Nuklear Malaysia, Rapieh Amin Nuddin, Strategi-in Rseidence UKM, Dr Fatimah Mohd Amin dan Pengarah Bersekutu Seliaan dan Perundungan Nuklear Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia, Azlina Mohd Jais semasa Forum Sumbangan Wanita Terhadap Program Nuklear Kebangsaan 2017 di UNITEN, Bangi. - Foto Rosela Ismail

Tak ramai wanita dalam bidang nuklear

BANGI: Pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan dalam bidang nuklear belum mampu menyamai pencapaian rakan mereka dalam industri lain, biarpun ramai menunjukkan kecemerlangan luar biasa mengatasi golongan lelaki.

Walaupun senario berkenaan menunjukkan trend yang sama dalam industri nuklear di seluruh dunia, golongan wanita dalam bidang ini seharusnya lebih berani bagi membolehkan mereka bangkit 'memecahkan siling kaca' berkenaan.

Pakar Strategik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Fatimah Mohd Amin, berkata untuk berjaya wanita juga tidak seharusnya meletakkan kepentingan peribadi sebagai keutamaan dalam kerjaya sebaliknya mendahulukan tanggungjawab mereka terhadap bangsa dan negara.

Katanya, bidang ini juga memerlukan kecekalan yang tinggi kerana mereka terpaksa berhadapan dengan sistem yang kompleks, selain perlu mengutamakan standard keselamatan yang ketat dan terjamin.

"Setiap keputusan yang diambil perlu tepat dan tidak diganggu dengan perkara atau unsur lain yang boleh menjejaskan banyak pihak," katanya ketika menyertai forum anjuran Women in Nuclear (WiN) bertajuk Sumbangan Wanita Terhadap Program Nuklear Kebangsaan sempena Persidangan Tahunan Ke-2 WiN Malaysia di sini, semalam.

Forum itu turut disertai bekas Pengarah Bahagian Pembangunan Manusia, Agensi Nuklear Malaysia, Rapieh Amin Nuddin; bekas Pengarah Reaktor Agensi Nuklear Malaysia, Datin Zarina Masood dan Pengarah Bahagian Perundangan dan Kawal Seliaan Nuklear, Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia, Azlina Mohammad Jais.

Pengarah Bahagian Sokongan Teknikal Agensi Nuklear Malaysia, Dr Siti A'iasah Hashim menjadi moderator dalam forum yang dianjurkan sempena memperingati ulang tahun ke 40 Agensi Nuklear Malaysia berkenaan.

Sementara itu, Zarina berkata, wanita dalam bidang nuklear perlu memiliki keyakinan diri yang tinggi bagi menyerlahkan keupayaan bekerja memandangkan mereka terbabit dalam dunia yang dikuasai lelaki.

"Mereka tidak seharusnya mengenepikan tanggapan negatif apabila bekerja dalam dunia lelaki, sebaliknya tunjuk dan buktikan mereka mampu membuat apa sahaja tugas yang dilakukan lelaki.

"Dengan cara ini kita bukan sahaja dihargai rakan setugas lelaki, tetapi lebih daripada itu mampu mengelak jurang diskriminasi dalam bidang ini," katanya.

Zarina berkata, wanita yang bekerja dalam bidang nuklear di negara ini seharusnya berbangga kerana pencapaian mereka jauh mengatasi negara peneraju seperti Jepun dan Korea.

"Jika dibandingkan dengan kedua-dua negara berkenaan yang lebih maju bidang nuklearnya berbanding negara ini, wanita di Malaysia lebih ramai terbabit dalam kerjaya ini," katanya.

Perkara itu dipersetujui Rapieh yang berpendapat wanita banyak memberi sumbangan dalam agensi nuklear di negara ini, terutama ketika awal penubuhannya pada 1975, ia dikenali sebagai Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (Puspati).

Berita Harian X