Jumaat, 24 Mei 2024 | 8:11am
Mertinih Ivy Joklis tampil mencipta kelainan membawakan motif pirawis pada beg hasil aktiviti mengait yang menjadi hobinya sejak kecil. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Mertinih Ivy Joklis tampil mencipta kelainan membawakan motif pirawis pada beg hasil aktiviti mengait yang menjadi hobinya sejak kecil. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Motif rekaan pirawis tonjolkan budaya kehidupan etnik Dusun Tatana

KUALA LUMPUR: Motif pirawis pada pakaian Sira Lambung melambangkan kehidupan masyarakat Dusun Tatana di Kuala Penyu, Sabah, yang dulu hanya pada baju tradisional, kini corak rekaan pada aksesori lain seperti beg.

Pekerja swasta, Mertinih Ivy Joklis, 43, tampil mencipta kelainan membawakan motif pirawis pada beg hasil aktiviti mengait yang menjadi hobinya sejak kecil.

"Saya mula belajar mengait ketika berusia 12 tahun dengan mengait alas meja dan alas televisyen.

"Saya berkawan dengan kawan yang pandai mengait, cuma mereka buat mengikut musim," katanya ditemui pada majlis Sambutan Kaamatan peringkat Putrajaya, baru-baru ini.

Ibu lima anak ini sudah menetap di Puchong, Selangor berkata, rekaan menggabungkan tujuh lapisan warna berbeza seperti merah, biru, kuning dan putih.

"Rona ini sangat menarik dan saya rasa ia tidak sepatutnya disimpan dalam kalangan sesuatu kaum, lebih-lebih lagi kita di Malaysia kaya dengan adat, budaya dan warisan pelbagai kaum serta etnik.

"Warisan atau tradisi kaum wajar dikongsi kepada semua lapisan masyarakat dan tidak terhad kepada etnik Dusun Tatana sahaja.

"Saya rasa warisan ini boleh diketengahkan dalam pasaran Malaysia atau kepada sesiapa yang mahu menghargai kesenian dan kebudayaan Sabah," katanya.

Untuk kaum Dusun Tatana, katanya, ciri khas mereka mudah dikenali iaitu, pirawis.

"Gabungan rona pirawis sangat menarik bukan hanya antara perhiasan dalam busana Dusun Tatana, tetapi boleh dijadikan motif aksesori lain seperti beg.

"Tak adakah saya orang pertama yang mengait motif ini pada beg. Apa pun saya gembira kerana boleh memperkenalkan tradisi kaum ini kepada masyarakat di luar Sabah," katanya.

Dapat perkenalkan warisan budaya Sabah

Justeru, beliau teruja apabila dapat menyertai Sambutan Kaamatan di Putrajaya sekali gus masyarakat dapat mengenali lebih dekat nilai budaya di Sabah

"Biasanya kalau pesta atau perayaan sebegini, orang luar yang datang khususnya pelancong tempatan dari Semenanjung dan luar negara akan mencari sesuatu yang unik sebagai cendera hati untuk kenang-kenangan.

"Selain aksesori peralatan kecantikan, beg juga sesuatu yang baik untuk disimpan sebab ia tahan lama.

"Jadi saya pilih beg berasaskan kait sebab ini sangat baharu di pasaran," katanya.

Katanya, beliau sudah memulakan persiapan menghasilkan beg eksklusif bermotifkan pirawis sejak awal tahun ini.

"Mula-mula sekadar aktiviti 'healing'. Saya ada mengait beg corak lain dan ia sekadar hobi untuk kegunaan sendiri. Tapi selepas lihat corak pirawis saya lihat sesuai digarap pada beg.

"Saya pilih satu motif istimewa dan eksklusif untuk Kaamatan kali ini sahaja. Ada tiga jenis beg yang bersaiz besar, sederhana dan kecil," katanya.

Setiap beg kecil disiapkan dalam tempoh tiga jam manakala bersaiz sederhana mengambil masa kira-kira empat hingga lima jam. Saiz besar ambil masa seharian disiapkan.

"Setiap lapisan warna pada motif pirawis melambangkan kehidupan masyarakat Dusun Tatana," katanya hanya beliau seorang daripada 10 beradiknya yang pandai mengait.

Beliau optimis untuk maju dalam bidang itu dan akan mencari pekerja bagi membantu perniagaannya.

"Saya buat eksklusif untuk Kaamatan, tetapi saya tidak menolak kalau ada permintaan daripada pelanggan untuk beg ini," katanya.

Berita Harian X