Jumaat, 3 Mei 2024 | 3:37pm
Nilai kehalusan seni hingga makna mendalam, motif-motif ini menjadi sumber inspirasi yang tak terbatas untuk pereka kontemporari.
Nilai kehalusan seni hingga makna mendalam, motif-motif ini menjadi sumber inspirasi yang tak terbatas untuk pereka kontemporari.

Kerongsang Tok lambang tradisi, budaya Melayu

KUALA LUMPUR: Mempertahankan warisan Melayu menjadi tanggung jawab bersama untuk memastikan kekayaan budaya dan sejarah Melayu tetap hidup dan berkembang pada era modenisasi.

Barang kemas tradisi Melayu, khususnya Kerongsang Tok antara material budaya dan tradisi Melayu yang kaya, menyerlahkan simbol keanggunan dan keindahannya.

Pensyarah Kanan, Jabatan Seni Reka Logam Halus, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kelantan, Rozita Shamsuddin, berkata inspirasi rekaan terkini dalam Kerongsang Tok menawarkan pendekatan inovatif dalam mempertahankan dan mempromosikan barang kemas tradisi Melayu.

Katanya, rekaan terkini dalam Kerongsang Tok menggabungkan elemen tradisional dengan unsur kontemporari meliputi penggunaan bahan baru, teknik penghasilan dan motif diinspirasikan dari seni tradisional Melayu seperti motif wang kulit, seni ukiran kayu dan seni tekat menjadikan lebih unik.

Kerongsang Tok tidak hanya dianggap sebagai barang hiasan, tetapi juga sebagai medium menyampaikan cerita dan nilai tradisi Melayu kepada generasi muda dan masyarakat.

"Rekaan terkini ini mencerminkan semangat inovasi yang seimbang dengan dedikasi untuk melestarikan keaslian warisan budaya Melayu.

"Wayang kulit antara seni tradisional Melayu yang kaya sejarah, budaya dan estetika. Inspirasi rekaan daripada wayang kulit menjadi sumber inspirasi bagi banyak pereka, seniman, pengkarya dalam menciptakan karya baru yang menggabungkan tradisi dan inovasi.

Wayang Kulit telah menjadi sumber inspirasi bagi banyak pereka, seniman, dan pengkarya dalam menciptakan karya-karya baru.
Wayang Kulit telah menjadi sumber inspirasi bagi banyak pereka, seniman, dan pengkarya dalam menciptakan karya-karya baru.

"Dengan mengambil inspirasi dari wayang kulit, ia dapat menghasilkan karya estetik dan memiliki nilai budaya dan sejarah yang mendalam," katanya.

Ulasnya, integrasi antara tradisi wayang kulit dengan estetika kontemporari dapat menciptakan harmoni antara masa lalu dan masa kini, memperkaya khazanah seni dan budaya Melayu untuk generasi baru.

Motif ukiran kayu antara kekayaan seni tradisional Melayu yang memukau dan penuh dengan simbolik.

"Dari nilai kehalusan seni hingga makna mendalam, motif ini menjadi sumber inspirasi tak terbatas untuk pereka kontemporari.

"Dengan mengambil inspirasi motif ukiran kayu warisan Melayu, pereka dan pengkarya dapat menciptakan karya yang lebih dinamik di samping menjadi wadah untuk rujukan masyarakat," katanya.

Selain itu, seni tekat seni warisan Melayu kaya dengan keindahan dan kehalusan seni buatan tangan.

Motif seni tekat sering kali menggambarkan alam, flora, fauna, simbol kepercayaan dan falsafah tradisional Melayu.

Motif-motif dalam Seni Tekat seringkali menggambarkan alam, flora, fauna, serta simbol-simbol kepercayaan dan filosofi tradisional Melayu.
Motif-motif dalam Seni Tekat seringkali menggambarkan alam, flora, fauna, serta simbol-simbol kepercayaan dan filosofi tradisional Melayu.

"Dengan mengintegrasikan motif warisan Melayu dalam rekaan Kerongsang Tok dapati memperkaya rekaan dengan kekayaan budaya dan berupaya melestarikan serta menghargai warisan budaya yang tidak ternilai," katanya.

Justeru, komitmen tinggi daripada pelbagai pihak perlu dalam usaha mempertahankan dan menjaga kelangsungan budaya dengan akar sejarah dan tradisi.

"Kita dapat mempelajari nilai warisan terdahulu demi masa yang kaya dengan kebudayaan, inspirasi dan inovasi.

"Inspirasi rekaan terkini dalam Kerongsang Tok memberikan wawasan baharu dalam melestarikan dan mempromosikan warisan barang kemas tradisi Melayu.

"Gabungkan tradisi dan inovasi, Kerongsang Tok terus menjadi simbol kebanggaan dan identiti Melayu yang abadi, memastikan warisan itu terus hidup dan berkembang dalam era kontemporari, " katanya.

Berita Harian X