Isnin, 22 Januari 2024 | 9:39am
Uniknya sulaman keringkam Sarawak.
Uniknya sulaman keringkam Sarawak.

Sulaman keringkam Sarawak semakin pupus

KUCHING: Sulaman kerikam atau lebih dikenali sebagai keringkam, iaitu seni sujian sinonim dengan masyarakat Melayu Sarawak dan dulu sering digayakan keluarga bangsawan, kini diancam kepupusan.

Selendang dan selayah kerikam digarap dengan benang kasar daripada logam berwarna emas atau perak bagi menekat pelbagai motif menarik terutama corak bunga, menjadi pelengkap busana golongan orang berada ketika menghadiri keraian.

Seiring peredaran masa, selendang kerikam kini turut dipakai oleh golongan biasa, malah dianggap sebagai "wajib ada" bagi setiap keluarga Melayu Sarawak.

Tidak kurang juga menjadikan kain bersulam kerikam ini sebagai pusaka diwarisi anak cucu mereka.

Putaran roda masa juga memperlihat seni sulaman kerikam tidak lagi terhad pada selendang atau selayah, sebaliknya turut ditemukan pada busana tradisional seperti baju kurung.

Diancam kepupusan

Bagaimanapun, kerenyahan seni sujian ini membuatkan tidak ramai yang berminat untuk mempelajari, sekali gus mengancam kesinambungan kerikam.

Penggiat seni tekat kerikam Danny Zulkifli, 44, mengakui beliau berdepan kesukaran menimba ilmu berkaitan sulaman ketika mula-mula terlibat dalam kraf itu.

"Saya sanggup belajar seni warisan ini bagi memastikannya tidak pupus. Seni sulaman keringkam sangat eksklusif dan terpaksa merujuk kepada orang-orang tua yang lebih mahir dan berpengalaman," kata pemilik butik D Keringkam itu ketika berucap pada program Aspire Warisan Pemeliharaan Tekstil dan Kemahiran Belia, anjuran Amanah Warisan Brooke tajaan Yayasan Hasanah, baru-baru ini.

Mengenang kembali detik awal pembabitannya dalam seni sulaman kerikam pada 2008, Danny yang juga guru Matematik di Sekolah Kebangsaan Santubong di sini, berkata beliau mempelajari seni itu ketika bertugas di sebuah sekolah rendah di pedalaman Mukah, wilayah tengah Sarawak.

"Ketika mengajar di pedalaman, peluang untuk keluar dari kawasan sekolah adalah sukar kerana perlu menempuh perjalanan mencabar, iaitu jalan balak hingga dua jam.

Ketika semua murid dan guru balik kampung (ketika cuti sekolah), saya memilih untuk tinggal seorang diri di sekolah.

"Saya gunakan masa itu berkarya dan mengasah ilmu dipelajari sehingga dapat menghasilkan sulaman keringkam berkualiti," kata anak jati Kuching itu.

Danny juga seorang disleksia (gangguan keupayaan membaca, mengeja, menulis dan bertutur), berkata hasil kerja tangannya menjadi sumber pendapatan sampingan dan sebagai terapi bagi menghilangkan kesepian berjauhan dari keluarga.

Hasilkan buku teknik kerikam

Cabaran menghasilkan seni kerikam pada ketika itu, adalah tiada jaringan internet menyukarkannya membuat carian teknik sulaman, mendorong beliau mengorbankan cuti hujung minggu bagi mencari pakar kerikam.

"Masa itu tiada Internet di sekolah, jadi apabila saya ada kemusykilan terpaksa turun naik bukit pada hujung minggu bertanya kawan serta orang tua berpengalaman dalam seni keringkam.

"Dalam masa tujuh bulan saya mampu menguasai teknik seni keringkam dan sulaman motif. Tiada guru khas mengajar saya, pembelajaran dengan bertanya mereka yang mahir dan melihat contoh gambar," kongsinya.

Beliau mengambil masa hampir sebulan menyiapkan kerikam bermotif sederhana dan tiga hingga empat bulan bagi kerikam pelbagai corak di butiknya.

"Jika terburu-buru hasilnya kurang memuaskan, kerana menghasilkan satu motif urat benang pada kain, harus dikira keseimbangannya (jumlah corak)," katanya, hingga kini lebih 60 kerikam pelbagai motif dihasilkanya.

Gaun kerikam Sarawak diperaga di Amerika Syarikat

Danny pernah bekerjasama dengan pereka fesyen Khaider dan Sim Demi Couture menghasilkan gaun kerikam Sarawak untuk Leslie Chiam, wakil Malaysia ke pertandingan Miss Universe 2022, berlangsung di New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat.

"Saya bersyukur hasil keikhlasan dan kesungguhan dalam memartabatkan seni warisan keringkam dapat diperagakan di pentas dunia.

"Saya juga sedang menulis sebuah buku teknik dan jenis sulaman keringkam serta busana tradisional Sarawak dengan pelbagai motif.

"Buku berjudul 'Cintaku Di atas Pedangan' itu dijangka siap dan dilancarkan pada tahun ini juga di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka Negeri Sarawak," katanya.

Program aspire jadi platform

Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Datuk Shahira Ahmed Bazari, berkata generasi muda berdepan risiko kehilangan warisan dan sebahagian identiti mereka apabila pengamal seni, budaya dan warisan sedia ada semakin dimamah usia.

"Justeru, sejak beberapa tahun lalu, kami bekerjasama dengan rakan kongsi di beberapa negeri untuk memberi nafas baharu kepada tekstil warisan bagi mengembalikan semula kegemilangan kraf itu menerusi pelbagai usaha.

"Antaranya menerusi program Aspire dapat mengangkat seni warisan tekstil seperti keringkam emakin dilupakan. Program

"Aspire platform golongan muda mempelajari seni sulaman ini selama 18 bulan, termasuk tiga bulan sesi praktikal.

"Program bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik agar kemahiran dimanfaatkan untuk kesinambungan warisan negeri Sarawak melalui keusahawanan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Warisan Brooke, Jason Brooke berkata program Aspire adalah penting kerana ia menyediakan sokongan sosial secara langsung kepada anak muda yang kurang bernasib baik, diinspirasikan oleh asal-usul Amanah Warisan Brooke di Sarawak, khususnya berkaitan Muzium Ranee.

"Ranee (Margaret Brooke) dikenali sebagai penaung keringkam dan songket. Kami memiliki sebahagian daripada kain bersulam keringkam beliau yang kemudian membawa kepada penubuhan Muzium Ranee bagi mempamerkan kraf terbabit.

"Mengambil kira keperluan masyarakat, kami memberi tumpuan pada golongan muda yang berada dalam keadaan sukar seperti pesalah muda.

Sejarah merekodkan Ranee Margaret, iaitu isteri Rajah Putih Sarawak yang kedua Charles Brooke, sebagai pengasas dan pejuang seni kerikam dan songket. Koleksi beliau dipamerkan di Muzium Ranee yang terletak di Bangunan Mahkamah Lama, Kuching dan dibuka kepada orang awam.

Pelapis

Melihat program itu sebagai usaha melahirkan 50 penyulam muda yang bakal menjadi pelapis kesinambungan dan kelestarian seni keringkam Sarawak, Ketua Muzium dan Pendidikan Muzium Brooke Salliza Sideni, berkata mereka yang terpilih antaranya remaja daripada pusat pemulihan akhlak, anak-anak yatim serta belia di pusat perlindungan yang berusia 12 hingga 19 tahun.

"Mereka akan dilatih oleh penyulam keringkam bertauliah. Selepas itu mereka akan menjalani latihan di rangkaian Muzium Brooke di Kuching, iaitu Galeri Brooke di Fort Margherita dan Muzium Ranee," katanya, menambah pelatih kemudian akan ditawarkan peluang pekerjaan, sama ada secara langsung atau menerusi jaringan kerja selain diperkenalkan kepada artisan di bidang sama.

Program bermula Jun 2023 itu mendapat sambutan menggalakkan terutama belia terpilih kini mampu menghasilkan seni kerikam yang dipamerkan di Muzium Brooke.

"Bagi mengiktiraf hasil usaha mereka sepanjang pembelajaran, karya-karya terbaik akan dipamerkan kepada umum di Muzium Brooke. – BERNAMA

Berita Harian X