Sabtu, 9 Disember 2023 | 12:25pm
Antara teknik sulaman tangan dari tenaga pengajar Kemas Wilayah Persekutuan di reruai Kementerian Desa dan Wilayah sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil selama tiga hari bermula hari ini. - Foto Bernama

Orang ramai berpeluang untuk mencuba teknik sulaman tangan di reruai Kementerian Desa dan Wilayah sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama

Tenaga pengajar Pemaju Masyarakat Kemahiran Jahitan dari Kemas Wilayah Persekutuan Sharifah Raudhah Sy Dahalan menunjukkan hasil sulaman tangan. - Foto Bernama
Tenaga pengajar Pemaju Masyarakat Kemahiran Jahitan dari Kemas Wilayah Persekutuan Sharifah Raudhah Sy Dahalan menunjukkan hasil sulaman tangan. - Foto Bernama

Seni sulaman tangan berharga ribuan ringgit

KUALA LUMPUR: Seni sulaman tangan yang dahulunya janggal bagi anak-anak muda, kini semakin mendapat tempat dalam kalangan golongan itu, berikutan nilai jualan produk yang dihasilkan boleh mencecah ribuan ringgit.

Pemaju Masyarakat Pendidikan Kemahiran Jahitan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kuala Lumpur, Sharifah Raudhah Sy Dahalan, berkata peralihan minat itu, boleh dilihat daripada penyertaan golongan muda di dalam kelas seni tangan anjuran jabatan itu, yang meningkat setiap tahun.

Kalau dulu, seni sulaman ini didominasi oleh generasi lama, tetapi sekarang ramai anak muda sudah meminatinya malah produk yang dihasilkan dari seni sulaman ini juga lebih kreatif

"Ia tidak lagi berkisar kepada seni sulaman untuk sarung bantal, cadar tilam dan alas meja, malah menjangkaui produk seperti beg tangan, sapu tangan dan kotak mas perkahwinan," katanya ketika ditemui di reruai Kementerian Desa dan Wilayah, pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, di sini hari ini.

Sharifah Raudhah berkata, ketelitian yang tinggi dalam menghasilkan produk seni sulaman, menyebabkan sesiapa sahaja yang menguasai kemahiran tersebut, boleh menjadi usahawan berjaya berikutan nilainya tinggi di pasaran.

Mengambil kira peluang berkenaan, Sharifah Raudhah, berkata KEMAS tidak berfikir panjang untuk mengadakan demonstrasi jahitan sulaman tangan menggunakan benang sulam dan reben, pada program berkenaan bagi mendedahkan orang ramai dengan kemahiran itu.

Tenaga pengajar KEMAS, Rafizah Mat Saad yang terbabit demonstrasi berkenaan, berkata mempelajari seni sulaman tangan tidak sukar seperti yang disangka, jika memahami perkara asas termasuk penggunaan benang dan jarum yang sesuai dan corak yang mahu dihasilkan.

20 jenis sulaman di Malaysia

Beliau berkata di Malaysia, terdapat lebih 20 jenis sulaman tangan antaranya sulam padu, jahitan rantai dan simpul Perancis, namun pemilihan jarum, benang dan fabrik memainkan peranan penting.

"Biasanya kita guna benang DMC Embroidery berukuran satu milimeter, kerana ia sangat berkualiti dan warna tidak mudah luntur, jarum mesti yang berlubang besar dan halus untuk mudah membentuk lubang-lubang kecil pada fabrik," katanya yang berharap lebih ramai anak muda menguasai seni itu pada masa depan.

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, diadakan bermula 9 pagi hingga 10 malam selama tiga hari bermula semalam.

Kemuncak program itu adalah majlis penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim esok, yang akan turut dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan.

– BERNAMA

TAG: MADANI, seni sulaman, anak muda, KEMAS, usahawan

Berita Harian X