Khamis, 7 Disember 2023 | 1:30pm
Graduan menggayakan rekaan jubah ketika majlis konvokesyen USM, baru-baru ini. - Foto/Ihsan USM
Graduan menggayakan rekaan jubah ketika majlis konvokesyen USM, baru-baru ini. - Foto/Ihsan USM

Rekaan jubah konvokesyen persis Harry Porter jadi tumpuan

GEORGETOWN: Detik menyarung jubah konvokesyen pasti menjadi kenangan yang sukar dilupakan sebagai simbolik menandakan kejayaan graduan menamatkan pengajian di menara gading dalam bidang masing-masing.

Pakaian akademik itu dianggap begitu istimewa dan menarik perhatian ramai apatah lagi dalam kemeriahan suasana penganjuran majlis konvokesyen oleh beberapa universiti tanah air dua minggu kebelakangan ini.

Dalam hal, rekaan jubah konvokesyen dari Universiti Sains Malaysia (USM) antara paling mencuri tumpuan di media sosial dan masih disebut-sebut sehingga kini meskipun istiadat penuh bersejarah itu telah melabuhkan tirainya, minggu lalu.

Ada yang menyatakan pakaian akademik rona ungu tua itu persis potongan jubah yang digayakan watak siri fantasi Harry Potter.

Seorang pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Azrul Zabidi, berpendapat jubah gaya rekaan lama itu mempunyai lengan lebar mengembang ala jubah hakim mahkamah.

"Tiada sulaman, tetapi ada belahan di lengan jubah dan tengah jubah terbuka. Jubah tidak kelihatan 'kembang' dan terletak elok di atas bahu pemakai," katanya.

Rekaan jubah sejak 1972

Jurucakap Pusat Media dan Perhubungan Awam Universiti Sains Malaysia (USM) mendedahkan jubah asal direka oleh pereka jubah sebuah syarikat yang berpengkalan di United Kingdom dan secara tradisi digunakan sejak 1972.

Beliau berkata, meskipun sudah digunakan sejak sekian lama hanya baru-baru ini jubah berkenaan tular di media sosial dan dikatakan antara jubah memiliki rekaan minimalis, praktikal dan menarik.

"Secara umum, set jubah diperbuat daripada bahan sutera dan baldu terdiri dari 'robe' iaitu jubah labuh sehingga pangkal betis, 'hood' iaitu selendang satin mengikut warna pusat pengajian dan topi berpetak dengan juraian di bahagian tepi.

"Butiran daripada sumber Arkib USM mendapati konvokesyen pertama diadakan pada 10 Jun 1972, di Dewan Sri Pinang menyaksikan 39 orang menerima ijazah dengan kesemua mereka dilihat sudah mengenakan jubah konvokesyen sedemikian pada majlis tersebut.

"Upacara konvokesyen seterusnya hingga yang tahun ketujuh iaitu pada 1978 turut dijalankan di Dewan Sri Pinang sebelum ia secara tradisi dianjurkan di kampus induk USM," katanya.

Selebriti, Nabila Razali membuat persembahan ketika majlis Konvokesyen USM, baru-baru ini.
Selebriti, Nabila Razali membuat persembahan ketika majlis Konvokesyen USM, baru-baru ini.

Jubah khas berwarna ungu sebagai warna rasmi universiti turut disediakan untuk setiap pegawai penting di universiti dalam upacara itu.

Semua jubah berkenaan disimpan rapi di Bilik Jubah Utama berdekatan Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) terletak di kampus induk USM.

"Ada jubah khusus untuk para Canselor, Pro-Canselor, Naib Canselor, Ahli Lembaga Gabenor, Pendaftar, Bendahari, Ketua Perpustakaan, Dekan Pusat Pengajian atau Pengarah Pusat Khidmat, selain untuk para graduan.

"Graduan akan dibenarkan meminjam jubah konvokesyen tersebut beserta selendang warna mengikut bidang pengajian dalam tempoh masa tertentu bermula dari waktu sebelum istiadat hingga beberapa hari selepas upacara itu," jelasnya.

Berita Harian X