Jumaat, 29 September 2023 | 10:23am
Foto Hiasan
Foto Hiasan

Model tangan inovasi baharu dunia peragaan

Jika tidak cukup kelayakan menjadi peragawati di pentas peragaan, terdapat satu lagi kerjaya yang hampir sama popular dengan pekerjaan itu iaitu model tangan.

Umumnya model tangan menjadi pilihan jenama mewah dan terkenal untuk mempromosi produk mereka. Antara produk yang banyak menggunakan model tangan termasuk Tom Ford, Chanel, Fendi juga Lulu Guinness.

Dalam dunia peragaan antara model tangan yang terkemuka adalah Nina Taylor hingga beliau digelar sebagai 'Kate Moss dunia permodelan tangan'.

Bagi individu introvert yang ingin menjadi peragawati, model tangan adalah bidang yang boleh diterokai.

Wajah sebenar model tangan tidak dipamerkan kepada umum dan ia memberikan lebih privasi. Malah, model tangan juga tidak berhadapan dengan isu konflik kepentingan, sekali gus bebas bekerja dengan mana-mana jenama kerana tidak mempamerkan wajah.

Bagaimanapun, bayaran yang diterima oleh model tangan tidaklah setinggi model biasa. Model tangan terkemuka seperti Nina Taylor pernah menerima bayaran RM914 untuk hasil kerja selama lima minit dan RM28,561 sehari untuk khidmat beliau. Jumlah bayaran untuk model baharu semestinya lebih rendah berbanding beliau.

Perlu miliki kriteria tertentu

Namun, dunia permodelan tangan pada hari ini lebih meluas. Model tangan tidak hanya memperagakan produk mewah seperti barang perhiasan dan beg tangan sebaliknya turut merangkumi barangan seperti telefon pintar, produk kecantikan dan sebagainya.

Bagaimanapun, bukan semua individu boleh menjadi model tangan. Terdapat beberapa kriteria untuk menjadi model tangan.

Antaranya kriteria yang perlu dimiliki adalah bentuk tangan seimbang dan menarik secara estetika. Kulit juga mesti licin, bebas daripada cela dan kuku dengan ciri simetri yang baik.

Kuku juga perlu cantik dan terawat bagi memastikannya bersih, rata dan bebas daripada sebarang kecacatan. Pada masa sama, model tangan juga perlu mahir untuk menyampaikan emosi dan tindakan melalui gerakan tangan mereka misalnya memegang, menyentuh atau berinteraksi dengan pelbagai produk dengan kelihatan semula jadi dan penuh makna.

Sebenarnya, untuk dikenali sebagai model tangan bukanlah mudah kerana dunia sebegitu adalah dimensi peragaan tanpa wajah. Justeru, ia memerlukan lebih keupayaan ekspresi. Namun, ia sebenarnya ruang bagi individu introvert yang ingin berkecimpung dalam dunia peragaan.

Penulis adalah Nurul Afiqah Ahmad dan Dr Azura Abdul Rahman, Universiti Teknologi MARA Perak

Berita Harian X