Isnin, 18 September 2023 | 9:22am
MKK akan terus promosi Hari Kebaya Kebangsaan menerusi Minggu Fesyen Shanghai, bulan depan. - NSTP/Hazreen Mohamad
MKK akan terus promosi Hari Kebaya Kebangsaan menerusi Minggu Fesyen Shanghai, bulan depan. - NSTP/Hazreen Mohamad

Mempromosi kebaya ke persada antarabangsa

KUALA LUMPUR: Sebuah organisasi ratu cantik terunggul di Malaysia, iaitu Miss Malaysia Kebaya (MMK) akan terus mempromosikan Hari Kebaya Kebangsaan menerusi Minggu Fesyen Shanghai yang akan diadakan di Shanghai, China, pada Oktober ini.

Pelbagai busana kebaya akan dipamerkan sepanjang minggu fesyen berkenaan termasuk dalam sesi peragaan.

Pengasas dan Pengerusi Penganjur MMK, Dr Jason Hee, berkata sebagai usaha promosi, MMK juga mengambil inisiatif untuk melantik 30 personaliti terkenal sebagai duta budaya dan pelancongan Malaysia.

Katanya, mereka akan terbabit dengan kempen promosi tempat pelancongan warisan, mengeluarkan kandungan berunsur sejarah serta ilmiah berkaitan tempat dilawati dan sebagainya.

"Kita juga akan menganjurkan program pertukaran budaya sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memupuk hubungan dan pertukaran ilmu antara budaya dengan negara lain.

"Usaha ini akan menjadi antara pemudah cara bagi menzahirkan kefahaman yang lebih mendalam mengenai kekayaan budaya Malaysia di peringkat dunia," katanya pada Majlis Makan Malam Gala sempena Karnival Kebaya Malaysia 2023 di sini, baru-baru ini.

Hee turut mencadangkan kerajaan mengiktiraf Hari Kebaya Kebangsaan dalam usaha memelihara warisan tradisi dan budaya negara.

Pengiktirafan dan penganjuran program berkaitan hari itu setiap tahun akan mengingatkan orang ramai tentang sejarah terutama dengan perubahan zaman mengikut arus pemodenan.

Jason Hee.- NSTP/Hazreen Mohamad
Jason Hee.- NSTP/Hazreen Mohamad

"Kami yakin pengiktirafan Hari Kebaya Kebangsaan secara rasmi akan dapat mengekalkan landskap kebudayaan Malaysia sekali gus mencerminkan tanggungjawab negara dalam menghormati dan menghargai warisan bangsa.

"Melalui inisiatif ini, penganjur dapat menyumbang lebih banyak lagi dalam menyebarkan kesedaran budaya dan keharmonian masyarakat dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kebudayaan," katanya.

Cadangan kebaya diiktiraf UNESCO

Cadangan itu juga dapat menyusuli gerak kerja beberapa negara Asia Tenggara yang lain seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei dalam satu usaha sama untuk mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) supaya kebaya disenaraikan antara warisan budaya dunia.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang berlangsung Karnival Kebaya Malaysia termasuk pertunjukan fesyen budaya, pameran evolusi pakaian kebaya tradisi dari zaman ke zaman dan dana amal.

Aktiviti itu sebahagian usaha mempromosikan Hari Kebaya Kebangsaan.

Malam Gala Karnival Kebaya pula disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Tourism Malaysia yang menampilkan personaliti terkemuka dari industri kebudayaan, pelancongan, fesyen dan hiburan yang aktif dalam persembahan kebudayaan dan pertunjukan fesyen memaparkan busana kebaya.

Berita Harian X