KUALA LUMPUR: Penjualan dan penggunaan batik ketika ini semakin menggalakkan selepas kerajaan membenarkan penjawat awam memakai batik Malaysia setiap hari bekerja berbanding, setiap Khamis sebelum ini.
Bagaimanapun, kini terdapat lambakan jualan batik termasuk buatan Thailand, Indonesia dan China yang lebih murah berbanding batik Malaysia.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), Abdul Halim Ali, berkata lambakan fabrik itu dari luar negara sudah berlaku lama.
Katanya, fabrik itu apabila masuk ke negara ini dikategorikan sebagai tekstil sama seperti fabrik lain dan sukar dihalang kemasukannya.
"Justeru, pelbagai kempen dilaksanakan supaya masyarakat mengenali batik dan fabrik Malaysia.
"Malah, Kraftangan Malaysia dan industri batik akan 'berperang' habis-habisan untuk memperkenalkan batik Malaysia," katanya pada sesi bersama media sempena Kempen Ini Batik Malaysia di Laman Wau, Kompleks Kraf di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohd Zamri Mat Zain dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, 'Ainu Sham Ramli.
Abdul Halim berkata, pelbagai kempen sudah dilaksanakan termasuk di peringkat sekolah dan memperkenalkan batik Malaysia.
Kempen bertujuan memberi kesedaran awal supaya pelajar bijak memilih batik tempatan.
"Batik Malaysia miliki keunikan tersendiri, lebih cantik dan berkualiti, menggunakan fabrik selesa seperti kapas, tampil dengan motif pelbagai, setiap keluarannya lain daripada yang lain dan harga berpatutan.
"Namun, sejak pelbagai kempen diadakan kira-kira 50 peratus jumlah pemakai batik Malaysia berbanding sebelum ini," katanya.
Selain itu, peniaga perlu jujur dengan jenis batik dijual dan tidak mengambil kesempatan memasarkan kain biasa yang diimport dari luar negara.
"Pembeli pula harus bijak mengenali batik Malaysia supaya tidak terpedaya," katanya.
Ketika ini, seramai 815 pengusaha batik berdaftar dengan Kraftangan Malaysia dan jumlahnya semakin bertambah setiap tahun.
Untuk memastikan membeli batik Malaysia asli, iaitu Batik Canting, Batik Terap, Batik Sutera Saring dan Batik Alternatif, pengguna boleh memuat turun aplikasi Craft On The Go oleh Kraftangan Malaysia.
"Aplikasi ini menyediakan perkhidmatan secara digital berkaitan usahawan kraf, keterangan produk, imej dan lokasi kedai yang boleh diakses terus menggunakan Google Maps.
"Saya yakin usaha giat dijalankan, masyarakat akan menjadi lebih bijak memilih batik Malaysia yang lebih berkualiti, cantik dan harga berpatutan," katanya.
Selain itu, turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kraftangan Malaysia dengan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (BUMITRA) dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), bertujuan menggalakkan pemakaian batik kepada jemaah umrah Malaysia dalam usaha menggalakkan pemakaiannya dan mempromosikan batik ke luar negara.
Usaha itu sekali gus dapat membantu pengusaha batik terus maju apabila pelbagai rekaan batik akan dipakai jemaah umrah termasuk baju dan telekung.