KUALA TERENGGANU: Suasana di Payang Walk sepanjang Ogos dan September ini membuatkan pengunjung seolah-olah berada pada zaman silam apabila lebih 100 peniaga mengenakan busana tradisional sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Semua peniaga tanpa mengira agama dan kaum masing-masing mengenakan pakaian itu bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme sempena bulan kemerdekaan serta pembentukan Malaysia.
Inisiatif yang diambil peniaga itu bukan sahaja dapat memeriahkan suasana di kawasan tarikan pelancongan terbaharu itu, tetapi menghidupkan kembali pemakaian busana tradisional dalam generasi masa kini.
Malah, ia juga dapat memupuk perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di Terengganu yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu.
Ternyata perbezaan agama dan budaya tidak menghalang peniaga bersatu hati demi meraikan dua peristiwa bersejarah negara.
Semarak sambutan bulan merdeka
Peniaga lempeng, Mohd Anisi Yusof, 30, berkata semua peniaga sepakat memakai busana tradisional sepanjang bulan kemerdekaan dan pembentukan Hari Malaysia bagi memberi kelainan.
"Payang Walk ini baharu sahaja dibuka pada 21 Julai lalu, dan apabila kami berpakaian tradisional ini ia sedikit sebanyak dapat menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia sepanjang Ogos dan September ini serta menjadi tarikan pengunjung ke sini.
"Inisiatif ini bukan hanya untuk mempromosikan Payang Walk semata-mata tetapi memperkenalkan pakaian-pakaian tradisional yang ada terutama kepada generasi muda dan pelancong luar negara," katanya berbaju pagoda dan berkain pelikat serta bersongkok.
Martabatkan budaya dan warisan
Pengusaha cafe, Chua Peck See, 43, yang memilih pakaian Cheongsam pula berkata, masyarakat Cina dapat hidup dalam keadaan aman dan damai di Terengganu walaupun jumlah mereka di negeri tidak ramai.
"Apabila diminta mengenakan pakaian tradisional ini, kami terus bersetuju kerana Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ini adalah hari untuk kita sebagai anak Malaysia.
"Sebenarnya pemakaian sebegini bukan sahaja boleh dibuat pada Ogos dan September sahaja, tetapi ia boleh dipakai pada bila-bila masa kerana pakaian ini adalah budaya dan warisan daripada nenek moyang yang perlu dipelihara," katanya.
Teruja pakai baju Punjabi
Bagi Siti Aisyah Zulkipli, 27, dia teruja apabila diminta mengenakan pakaian tradisional pada Ogos dan September setiap Jumaat.
"Kami (peniaga) memang menyambut baik idea ini dan saya sendiri teruja sebelum memilih untuk memakai pakaian Punjabi.
"Ini yang menarik di Malaysia kerana kepelbagaian kaum yang ada membolehkan kita saling mengenali pakaian kaum lain dan ia secara tidak langsung dapat menonjolkan keindahan seni dan warisan yang ada.
"Apabila kita berpakaian sebegini, kita dapat mengimbau kembali kenangan dan perjuangan nenek moyang kita pada zaman dahulu seterusnya menggalakkan generasi yang ada untuk terus menghargai pakaian tradisional ini.
"Ia juga membuatkan kita menghormati kaum yang lain dan kita sendiri tahu Malaysia adalah negara yang istimewa kerana walaupun kita mempunyai pelbagai kaum, agama dan budaya, kita dapat hidup aman damai.
"Saya harap pemakaian seperti ini bukan hanya untuk dipakai semata-mata sempena dua hari bersejarah bagi Malaysia, tetapi ia membuatkan kita lebih saling menghormati dan memelihara hubungan sesama kaum yang ada," katanya.