GUA MUSANG: Bagi merealisasikan impian kanak-kanak menggayakan pakaian bertemakan warna Jalur Gemilang sempena rai merdeka di sekolah, seorang tukang jahit menyediakan tempahan dengan harga berpatutan.
Peniaga, Suzana Sulaiman, 45, berkata hanya bermodalkan RM50, ibu bapa boleh menempah baju kebaya moden kanak-kanak bertemakan warna Jalur Gemilang.
Pakej disediakan itu termasuk kain, upah menjahit dan pelanggan hanya perlu datang untuk mengambil ukuran.
Dia membuka tempahan untuk baju bertemakan Kemerdekaan sejak Jun lalu.
Malah, setiap tahun dia akan memperkenalkan tema baju kepada pelanggan dengan hanya bermodalkan RM50.
"Tahun ini, saya mencadangkan pelanggan membuat baju bertemakan Kemerdekaan dengan baju kebaya moden.
"Pelanggan hanya datang dan membawa anak untuk mengambil ukuran badan. Sambutan merdeka lazimnya sehingga 16 September jadi, pakaian ini masih relevan digayakan," katanya.
"Saya menerima hampir 100 pasang baju yang bertemakan warna Jalur Gemilang untuk tahun ini," katanya menjalankan perniagaan di Bandar Utama di sini.
Walaupun, pelanggan tetap diberi pilihan memilih reka bentuk sendiri dan bergantung kepada bajet masing-masing
Sekiranya pelanggan sanggup membayar lebih, pelbagai rekaan ditawarkan untuk mereka.
"Harga RM50 untuk kebaya moden sahaja. Ini membolehkan kanak-kanak mengenakan baju bertemakan sambutan Kemerdekaan bagi menyemarakkan semangat patriotik.
"Namun, sekiranya ibu bapa tertarik dengan 'design' lain dan perlukan penggunaan kain berbeza kami tetap akan lakukan mengikut bajet mereka," katanya.
Baju direka turut mendapat permintaan di seluruh negara apabila ada yang menempahnya melalui Facebook atau WhatsApp.
Katanya, pada awal pembabitan dalam bidang jahitan dia hanya melakukannya di rumah sebelum membuat keputusan membuatkan kedai sendiri.
"Alhamdulillah, sudah empat tahun saya beroperasi di premis ini. Sebelum ini, dua tahun hanya menjahit di rumah, kemudian membuka kedai jahit dan dibantu empat pekerja.
"Saya sedang giat menjahit jenama sendiri. Pelanggan boleh datang memilih jenis kain dan rekaan ikut cita rasa mereka," katanya.