Jumaat, 18 Ogos 2023 | 1:19pm
Pemilik Butik Ang Eng, Lim Yu Ling, 53, menunjukkan pelbagai jenis kain yang digunakan untuk membuat koleksi kebaya yang terdapat di butik beliau. - Foto BERNAMA
Pemilik Butik Ang Eng, Lim Yu Ling, 53, menunjukkan pelbagai jenis kain yang digunakan untuk membuat koleksi kebaya yang terdapat di butik beliau. - Foto BERNAMA

'Jatuh cinta' dengan kebaya nyonya

MENJEJAKKAN kaki di Butik Ang Eng, terletak di Dataran Palma, Ampang, Selangor, penulis seolah-olah berada di rumah tradisional masyarakat Cina Peranakan Melaka seperti dalam sitkom 'Baba dan Nyonya', yang popular suatu ketika dahulu.

Dihiasi deretan pelbagai rekaan kebaya nyonya berwarna-warni yang tersusun rapi di ruang tengah butik, perkataan 'Ang Eng' berwarna merah pada papan kayu klasik hitam serta perabot antik tradisional Cina, mengalu-alukan kedatangan pelanggan.

Seperti ruang tamu rumah kebanyakan masyarakat Cina, potret keluarga digantung pada dinding butik untuk tatapan tetamu, sebagai simbolik kebanggaan keluarga.

Tak Lapuk dek zaman

Ketika sedang leka meneliti koleksi gambar dipamerkan di dinding, seorang wanita anggun berkebaya nyonya berwarna merah manggis dan berseluar jeans, menyapa penulis.

"Selamat datang ke Butik Ang Eng," katanya mesra. Saling memperkenalkan diri, beliau ialah Lim Yu Lin, 53, yang adalah pengurus butik itu.

Lim Yu Ling, 53, menyiapkan set kelengkapan kebaya nyonya bertemakan Hari Kebangsaan. - Foto BERNAMA
Lim Yu Ling, 53, menyiapkan set kelengkapan kebaya nyonya bertemakan Hari Kebangsaan. - Foto BERNAMA

Yu Lin anak jati Alor Setar, Kedah dan berketurunan Hokkien, berkata butik itu diasaskan oleh mendiang neneknya Lim Wah Choon pada 1955 di Alor Setar sebelum diwarisi oleh ibunya, Lean Ong.

"Nenek yang bagi nama 'Ang Eng'. Perkataan 'Ang' bermaksud 'merah' dan 'Eng' ialah burung dalam bahasa Hokkien. 'Ang Eng' iaitu burung merah adalah simbolik buat masyarakat Cina, terutama dalam kalangan Baba Nyonya kerana dianggap antara haiwan membawa tuah.

"Selain burung, haiwan lain yang membawa tuah terkenal dalam masyarakat Baba Nyonya ialah ikan, ayam dan naga… haiwan ini banyak dijadikan ukiran dan sulaman pada kebanyakan kebaya nyonya," katanya generasi ketiga mewarisi perniagaan itu.

Beliau bersama suami Lim Chung Hau, 57, mengusahakan butik itu sebelum ini terletak di pusat beli-belah Great Eastern Mall, Jalan Ampang, sebelum berpindah ke Ampang pada tahun lalu.

Butik Ang Eng menawarkan koleksi kebaya, baju kurung dan pakaian tradisional masyarakat Cina yang pernah diperagakan di pelbagai pertunjukan fesyen antarabangsa.

Walaupun fesyen moden mendominasi pentas peragaan Malaysia dan antarabangsa, keunikan baju kebaya, terutama dalam menyerlahkan identiti Cina Peranakan, tidak lapuk dek zaman.

"Dulu tanggapan umum, kebaya nyonya hanya sesuai digayakan wanita berusia seperti dalam kalangan keturunan Baba Nyonya.

"Sejak Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood (isteri bekas Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi) mengangkat batik dan songket, kebaya nyonya semakin mendapat tempat, malah dihidupkan kembali ke tahap lebih tinggi serta mempunyai nilai komersial," katanya.

Lebih 60 tahun

Rekaan kebaya nyonya yang tersusun rapi di ruang tengah butik Ang Eng terletak di Dataran Palma, Ampang. - Foto BERNAMA
Rekaan kebaya nyonya yang tersusun rapi di ruang tengah butik Ang Eng terletak di Dataran Palma, Ampang. - Foto BERNAMA

Yu Lin dibesarkan dalam keluarga yang sibuk dengan aktiviti perniagaan.

"Datuk saya dulu pemilik kedai hasil laut kering, nenek mengambil upah menjahit di tingkat atas kedai itu. Masa kanak-kanak kami banyak dihabiskan antara kedai hasil laut kering dan bengkel jahitan, terutama selepas waktu sekolah, kami disuruh membantu mereka.

"Nenek kemudian bagaikan 'jatuh cinta' dengan kebaya nyonya, membuatkan dia belajar untuk menjahit sendiri busana itu, dan pada 1955, dia memulakan perniagaan baju kebaya di tingkat atas kedai hasil laut kering datuk.

"Nenek mengupah wanita dari kawasan kejiranan untuk menjahit selain turut dibantu oleh anak-anak serta anak saudaranya, termasuk saya dan sepupu," katanya.

Pada 1975, Yu Lin sekeluarga membuat keputusan untuk berpindah ke ibu kota dan membuka butik kecil di Ampang Park selama 20 tahun sebelum berpindah ke Great Eastern Mall.

"Ketika itu, nenek saya sudah mula menerima tempahan pelanggan daripada golongan nyonya di Melaka. Dari situ cara sulaman dan jahitannya lebih 'strict' dan asli, berbanding ibu saya yang banyak mengambil tempahan pelanggan berbangsa Melayu," katanya.

Yu Lin sejak kecil dilatih mewarisi kemahiran menjahit tradisional, terutama kebaya nyonya, selain menghasilkan sulaman untuk melengkapkan busana itu.

"Nenek kami sangat tegas dan mahukan anak cucunya mahir dalam bidang jahitan dan sulaman supaya generasi akan datang dapat menghargai budaya dan warisan busana tradisional," katanya, menambah butiknya masih mengekalkan sulaman kerawang pada kebaya nyonya.

Sulaman pada kebaya nyonya yang ditawarkan di butik berusia enam dekad dihasilkan menerusi jahitan tangan bagi mendapatkan sulaman kemas, teliti dan berkualiti.

"Selain kebaya nyonya sulaman tangan, kami juga menghasilkan kebaya nyonya sulaman mesin elektrik. Pelanggan diberi pilihan sama ada mahu kebaya nyonya menggunakan kain kasa rubia Jepun atau 'swiss voil'," katanya.

Ciri asli kebaya nyonya

Rekaan kebaya nyonya yang tersusun rapi di ruang tengah butik Ang Eng terletak di Dataran Palma, Ampang. - Foto BERNAMA
Rekaan kebaya nyonya yang tersusun rapi di ruang tengah butik Ang Eng terletak di Dataran Palma, Ampang. - Foto BERNAMA

Ciri asli kebaya nyonya ialah potongan pendek di atas punggung dengan lengan berukuran suku panjang atau pendek menampakkan pergelangan tangan.

"Jika diikutkan kebaya nyonya asli tidak ada butang di tengah-tengahnya kerana bentuknya seperti kimono - pakaian tradisional Jepun, jadi kerongsang dan dokoh digunakan sebagai butang di tengah-tengah.

"Kerongsang juga sebagai pelengkap sepasang kebaya nyonya dipadankan dengan kain batik sarung membuatkan penampilan pemakai tampak lebih klasik dan ayu," katanya.

Potongan kebaya, reka bentuk dan corak sulaman bergantung pada permintaan pelanggan di samping turut perlu bersesuaian dengan warna kulit, bentuk badan dan jenis pekerjaan mereka.

"Contohnya, pelanggan Melayu lebih gemar kebaya labuh yang menutup punggung hingga ke lutut, corak sulaman pula lebih kepada tumbuh-tumbuhan dan bunga, serta warna lebih gelap bagi menutup bentuk badan mereka.

"Bagi pelanggan berbangsa Cina terutama keturunan Cina Peranakan, mereka lebih gemar kebaya nyonya berwarna-warni dan terang seperti warna 'turquiose', kuning, merah muda dan hijau terang, dipadankan dengan sulaman haiwan yang membawa 'ong' (tuah) seperti naga, burung dan ayam," katanya.

Menyifatkan kebaya nyonya semakin digemari semua kaum dalam kalangan generasi muda, selain nampak elegan, sesuai dipadankan dengan skirt labuh, kain pario mahupun seluar.

"Selalunya orang beranggapan kebaya nyonya dipadankan dengan kain batik hanya dipakai wanita berusia, namun kini generasi muda dilihat gemar memadankannya dengan seluar jeans sekali gus menjadikannya lebih moden.

"Kini masih kekal corak kerawang pada setiap koleksi kebaya nyonya yang menampakkan keunikan dan warisan kaum Cina Peranakan.

"Corak kerawang selalunya dipilih berdasarkan personaliti seseorang dan kemudian baru padanan kain sebelum ia dijahit," katanya menambah fabrik biasa digunakan bagi menghasilkan kebaya ialah jenis kain kasa paling lembut.

Bagi sepasang baju kebaya nyonya, tugasan termasuk dijahit, menyulam dan ini lazimnya mengambil satu hingga tiga bulan, bergantung pada kerumitan rekaan dan permintaan pelanggan.

"Baju akan dibuat terlebih dahulu dan proses terakhir ialah melukis kerawang sebelum dikenakan ke atas baju, terutama di bahagian hujung baju dan tangan," katanya, menambah lebih 300 koleksi kebaya nyonya siap dijahit dan dipamerkan di butiknya untuk dijual pada harga antara RM500 hingga RM12,000.

Tak kira bentuk badan

Kebaya nyonya tidak hanya untuk tubuh langsing, sebaliknya sesiapa sahaja yang memakai pakaian tradisional, sama ada kebaya nyonya atau cheongsam, akan menyerlahkan kecantikan mereka yang tersendiri.

"Walaupun Melayu, Cina, India mempunyai pakaian tradisional masing-masing, kebaya nyonya sering menjadi pilihan kerana ia selesa dipakai pada musim perayaan, menghadiri majlis rasmi termasuk perkahwinan, pertunangan, makan malam dan pakaian harian.

"Ini secara tidak langsung membuktikan kebaya nyonya adalah simbol perpaduan kerana semua wanita tanpa mengira latar belakang boleh memakainya," katanya yang berpendapat kebaya nyonya wajar diangkat sebagai warisan tidak ketara di bawah Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Saya berasa amat bertuah dilahirkan dalam keluarga yang mahir menjahit kebaya nyonya kerana dapat mewarisi seni sulaman yang hampir pupus kerana ramai tidak mempunyai ilmu menjahit sulaman, " katanya sering dijemput menaja kebaya nyonya di pertunjukan fesyen dan pertandingan ratu cantik.

Diangkat sebagai warisan UNESCO

Pada April lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata Malaysia akan mencalonkan pakaian tradisional kaum Melayu Peranakan (Cina, Baba Nyonya, Chetti, Siam, Kristang), iaitu kebaya untuk diangkat ke UNESCO di bawah 'Representative List of the Intangibele Cultural Heritage of Humanity' untuk 2023, sebagai langkah menerajui inisiatif 'Kebaya: Knowledge, Skills, Traditions and Practices".

Menurut MOTAC, pencalonan itu dikemukakan secara bersama oleh Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand dalam usaha memastikan kebaya dilindungi dari segi penyampaian pengetahuan (kursus formal dan bengkel), usaha promosi dan usaha dokumentasi atau penyelidikan.

Sementara itu, pengasas dan Presiden Miss Malaysia Kebaya, Dr Jason Hee berkata selain menganjurkan pelbagai program untuk menggalakkan pemakaian kebaya dalam kalangan masyarakat tempatan, pihaknya turut memperkenalkan busana itu menerusi pertandingan ratu cantik dan pertunjukan fesyen bertaraf antarabangsa.

"Kami juga bekerjasama dengan pelajar jurusan fesyen di beberapa universiti tempatan untuk menghasilkan baju kebaya bagi diperagakan di pentas antarabangsa.

"Kami bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk persatuan pereka fesyen dan individu yang menyimpan dan memulihara koleksi baju kebaya lama untuk dipamerkan bagi tujuan pendidikan," katanya.

Pihaknya mencadangkan MOTAC menetapkan tarikh sambutan Hari Kebaya Kebangsaan bagi menunjukkan komitmen negara terhadap pemeliharaan warisan kebaya Malaysia sebagai antara identiti negara. - BERNAMA

Berita Harian X