Selasa, 8 Ogos 2023 | 8:53am
Haneefah mempunyai 59,000 pengikut dan lebih 200 gambar disiarkan di akaun Instagram Hijarbie selepas tujuh tahun menyepi.- Foto/Hijarbie- Instagram
Haneefah mempunyai 59,000 pengikut dan lebih 200 gambar disiarkan di akaun Instagram Hijarbie selepas tujuh tahun menyepi.- Foto/Hijarbie- Instagram

Barbie berhijab sudah kembali

Ketika ini, filem fenomena, Barbie lakonan Margot Robbie dan Ryan Gosling sudah mengumpul sebanyak RM1.2 bilion pada hari pertama tayangannya.

Impak daripada filem itu, fesyen persisi anak patung terkenal dunia, Barbie lengkap dengan busana berwarna merah jambu dilihat di sana sini.

Malah, seorang artis wanita warga Nigeria, Haneefah Adam, turut menampilkan semula patung Barbie berhijab yang dikenali Hijarbie selepas cuti panjang selama enam tahun.

Sekeping gambar dimuatnaik di Instagram milik artis berkenaan, menunjukkan sebuah patung yang digayakan pakaian berwarna merah jambu dan berhijab dengan kapsyen 'This #Hijarbie is back' (Hijarbie sudah kembali).

Pakaian yang dikenakan pada patung berkenaan adalah gabungan antara budaya bercirikan fesyen Islam yang diinspirasikan daripada keterujaan dicetuskan filem Barbie

Haneefah Adam
Haneefah Adam

Memetik artikel disiarkan indianexpress.com, hantaran sedemikian ternyata mengejutkan pengikut artis wanita muda itu yang menyatakan penghargaan terhadapnya menerusi ruang komen di media sosial terbabit.

Pada 2015, Haneefah mula berkongsi patung yang digayakan dengan pakaian bercirikan Islam selepas dia kecewa dengan kekurangan pakaian sopan dan hijab di media sosial.

Berbekalkan kemahiran yang diasah sendiri, dia yang terkenal sebagai blogger berkait makanan, kepercayaan dan fesyen selalu dicari menerusi Instagram untuk sumber inspirasi.

Dia berbuat demikian kerana merasakan tiada patung yang kelihatan sepertinya.

Itu sebabnya, dia mengambil keputusan untuk menukar penampilan sedia ada pada patung Barbie dengan menggayakan patung itu dengan hijab berwarna hitam, skirt maxi biru gelap dan baju biru.

Gambar patung berkenaan pernah dimuatnaik di media sosialnya pada 2015 dan meraih komen positif termasuk dibanjiri pertanyaan di mana untuk membeli pakaian itu.

Papar budaya, fesyen bercirikan Islam

Ekoran sambutan menggalakkan, dia kemudiannya menghasilkan jubah abaya berwarna biru yang diinspirasikan daripada bunga jagung.

Ia pernah digayakan oleh seorang pempengaruh fesyen dan gaya hidup British, Habiba da Silva sehingga mencetuskan perhatian media termasuk liputan portal hiburan dalam talian terkenal Amerika Syarikat (AS), Teen Vogue.

Haneefah memiliki 59,000 pengikut dan lebih 200 gambar dimuatnaik menerusi Instagram Hijarbie sepanjang tujuh tahun.

Wanita itu juga berjaya menghasilkan lebih 70 pakaian yang memaparkan budaya dan fesyen bercirikan Islam, termasuk pelbagai patung berinsipirasikan wanita Islam terkenal.

Bulan lalu, wanita itu membuat penampilan semula selepas berehat panjang bagi memberi tumpuan terhadap keluarganya.

Selain komen positif, dia mengakui pernah memperoleh reaksi negatif antaranya menggesa untuk menanggalkan hijab tetapi hanya segelintir berkata demikian.- Agensi

Berita Harian X