Ada kala kita rasa bosan dengan fesyen dan penampilan hampir sama setiap hari.
Rutin fesyen yang statik secara tidak langsung mempengaruhi 'mood' sepanjang hari dan tanpa sedar ia mungkin melenyapkan personaliti serta karakter unik seseorang.
Sesekali apa salahnya tampil bergaya luar daripada kebiasaan dan cuba fesyen kontemporari yang kena dengan personaliti anda.
Untuk berfesyen, seseorang mesti berani jika mahu mengikut trend semasa.
Terdapat banyak cara untuk menonjolkan imej berbeza, ini termasuk
mengekspresikan diri melalui pakaian dan aksesori.
Ikuti petua penggayaan disarankan pakar:
1. Pilih gaya yang selari dengan minat
Satu cara untuk menambah personaliti pada gaya, pilih pakaian dan aksesori yang mencerminkan minat dan kecenderungan anda.
Misalnya, bagi pencinta seni, boleh pilih memakai pakaian berkonsepkan retro atau vintaj. Serlahkan penampilan dengan aksesori seperti barangan kemas. Untuk gaya minimalis, cukup pakai rantai untuk menyerlahkan lagi penampilan
2. Berani bereksperimentasi dengan padanan warna
Satu cara yang baik menyuntik elemen personaliti diri melalui gaya dan penampilan berani bermain dengan warna.
Jika anda cenderung memilih warna neutral seperti hitam, putih dan kelabu, cuba sesekali tukar penampilan mengenakan warna pakaian lebih terang.
Boleh mulakan dengan sekadar mengenakan aksesori daripada warna 'Pops' seperti hijab berwarna terang dan anting-anting unik'.
3. Pilih baju yang jarang dikenakan
Ini satu lagi cara mudah tampil menawan. Mengapa tidak sesekali beli busana 'eksklusif', maknanya ia tidak dijual secara meluas atau rekaan ditawarkan terhad.
Jika gemar membeli-belah dalam talian,
cari pereka fesyen yang menjual secara kecil-kecilan atau cari padanan fesyen yang unik dan sukar ditemui di pasaran dengan melawat platform e-dagang global seperti eBay.
4. Elak ulang rutin sama dalam pemakaian
Ada sesetengah orang sukar untuk mengubah gaya pemakaian kerana terlalu selesa dengan fesyen yang sama sejak bertahun-tahun.
Sudah sampai masanya untuk lakukan perubahan, termasuk cuba terokai jenama fesyen baru dan elak memilih warna 'selamat' seperti hitam, putih dan kelabu.
Bagi tempoh permulaan, catatkan tabiat pemakanan anda yang perlu diubah dan kemudian senaraikan jenis busana, rangkaian kedai atau label fesyen dan warna yang perlu dielakkan dalam fasa untuk tampil dengan gaya baharu.
Melalui cara ini, ia sedikit sebanyak membantu menyemarakkan gaya lebih 'trendy' dan membolehkan perubahan imej dibuat secara konsisten.
5. Cuba padanan aksesori
Satu cara mudah untuk menambah personaliti pada gaya anda ialah dengan mencuba aksesori baharu. Jika anda biasanya memakai barang kemas yang minimum, cuba gayakan bersama
beberapa lagi aksesori lain seperti anting-anting.
Bagi yang tidak gemar bersolek, mengapa tidak cuba kenakan gincu daripada rona terang untuk penampilan lebih menyerlah.
Selain itu, boleh cuba kenakan aksesori kepala seperti cekak atau pengikat rambut untuk mempelbagaikan gaya atau bagi yang berhijab, cuba gaya lilitan berbeza dengan meniru pelbagai tutorial di media sosial.
6. Tampil yakin
Perkara paling penting adalah sentiasa yakin untuk berfesyen. Ia adalah kunci utama dalam menyerlahkan lagi personaliti anda.
Pastikan anda pilih pakaian dan aksesori yang anda gemari dan yang membuatkan anda selesa mengenakannya.
Jika anda yakin dengan penampilan diri, personaliti akan terserlah secara semula jadi, malah apa yang lebih penting, tidak nampak seperti terlalu mencuba.
Jadi, jangan bimbang untuk bereksperimen dengan gaya dan penampilan yang berbeza sehingga berhasil menemui versi fesyen terbaik yang sesuai untuk digayakan.