PENAMPILAN Princess of Wales, Kate Middleton, sentiasa mencuri perhatian terutama mengenai rekaan fesyen busana dan aksesori yang digayakan.
Justeru, penampilannya ketika menyertai perarakan 'Trooping the Color', di balkoni Istana Buckingham, London, Sabtu lalu menyerlahkan keanggunannya dengan persalinan serba hijau.
Gaun hijau, rekaan pereka dari Singapura, Andrew GN yang diserikan dengan butang batu rona biru dan hijau menggambarkan personaliti penuh berkeyakinan sejajar gelaran Princess of Wales yang disandangnya.
Kate menyertai Raja Charles III dalam acara pertamanya, sejak menaiki takhta selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II, pada September tahun lalu.
Acara itu turut membabitkan kawad lebih 1,400 askar, 200 kuda dan 400 pemuzik yang 'bergabung' dalam menyajikan suatu persembahan hebat.
Turut berada pada acara itu ialah Permaisuri Camilla serta putera dan puteri Kate, iaitu Putera William, Putera Louis, Putera George dan Puteri Charlotte.
Kot gaun berlengan panjang disarung Kate disempurnakan dengan padanan topi, rekaan Phili Treacy.
Busana ditampilkan dengan aksesori kerongsang emas 'shamrock' yang pernah digayakan ketika perayaan Hari St Patrick, awal tahun ini.
Kerongsang emas dengan zamrud di bahagian tengah ini dipinjamkan kepada keluarga Diraja ketika Hari St Patrick yang masa ia pada asalnya adalah kepunyaan Ratu Alexandra, isteri Raja Edward VII.
Kate menambah aksesori itu dengan sepasang anting-anting diperincikan dengan batu nilam dan berlian, sebelum ini dimiliki oleh Puteri Diana.
Melengkapkan penampilannya, beliau menggayakan rambutnya dalam sanggul dan menambah aura glamor dengan dengan solekan mata 'smokey', sedikit pemerah pipi dan warna bibir rona merah jambu.
Pemilihan busana daripada pereka kelahiran Singapura itu yang buat kali pertama dipakai di tempat awam, dilihat sebagai penghormatan kepada suaminya, Puteri William susulan penganjuran majlis 'Earthshot Prize' akan diadakan di Republik itu.
Malah, hijau itu juga adalah salah satu warna pada bendera Wales. Ini adalah acara 'Trooping the Color' pertama Kate sebagai Puteri Wales.
Sementara itu, anak perempuannya, Puteri Charlotte, pula dilihat memakai pakaian kelasi merah dan putih dipadankan dengan kasut putih manakala Putera George dan Putera Louis melengkapkan persalinan dengan tali leher merah dan sut tentera laut mereka.- AGENSI