Saiz tubuh boleh menjadi penghalang wanita untuk menggayakan sesuatu fesyen, malah kadangkala ia menyebabkan wanita itu kurang keyakinan ketika berdepan dengan khalayak.
Untuk kelihatan tinggi, mungkin ada memakai kasut bertumit tinggi, tapi bukan satu-satunya penyelesaian terbaik, mungkin menyebabkan anda terpaksa menahan kesakitan dan tidak selesa menyarung sepatu itu.
Namun, tidak kira saiz badan atau ketinggian yang dianugerahkan, setiap wanita boleh kelihatan cantik menarik dengan perkongsian beberapa tip yang diharap dapat membantu anda menggayakan pakaian dengan penuh keyakinan.
Memilih warna pakaian yang tepat
* Elakkan memakai pakaian dengan warna terlalu terang kerana warna baju terlalu terang dan cerah menyebabkan bahagian yang anda ingin sembunyikan itu begitu menyerlah.
Warna baju hitam dan biru laut antara pilihan tepat untuk membuat tubuh kelihatan lebih ramping. Ini kerana warna gelap pada bahagian bawah pakaian sama ada skirt atau seluar juga menambah kesan tinggi pada tubuh anda.
Motif atau corak pakaian
* Pilihlah pakaian bercorak dan berukuran tebal kerana ia lebih efektif untuk menjadikan anda kelihatan lebih ramping.
Pilih motif garisan nipis dan berjarak agak rapat.
Jika boleh, pakai skirt blaus, baju-T dan gaun bergaris kerana garisan ini membuatkan tubuh anda nampak lebih tinggi.
Untuk kelihatan lebih tinggi juga, anda boleh memakai seluar panjang yang menutup hingga ke bahagian kasut.
Ukuran atau saiz pakaian
* Anda juga perlu mempertimbangkan ukuran pakaian yang digunakan kerana ramai yang memilih pakaian terlalu ketat atau terlalu longgar supaya kelihatan ramping.
Namun, hakikatnya, pakaian yang terlalu ketat akan menampakkan kekurangan pada tubuh sementara pakaian yang terlalu longgar hanya akan menutup kelebihan tubuh, manakala ukuran pakaian yang sesuai tentunya akan menampakkan anda lebih tinggi.
Skirt
* Jika anda suka memakai skirt, jauhkan skirt yang terlalu pendek atau terlalu panjang. Skirt yang terlalu pendek membuatkan kaki anda kelihatan lebih besar manakala skirt terlalu panjang hanya akan menampakkan tubuh anda kelihatan lebih gemuk.
Postur
* Postur tubuh antara elemen yang sangat penting dalam penampilan seseorang. Postur bermaksud sikap dan pembawaan tubuh kerana postur tubuh yang kurang baik tidak membantu anda kelihatan lebih ramping.
Malah, ia juga menyerlahkan rasa tidak selesa dan kurangnya keyakinan diri. Justeru, berdiri secara tegak jika anda ingin kelihatan lebih ramping dan yakinlah pada diri walaupun anda tidak tinggi, tetapi sekurang-sekurang anda bijak berfesyen.