Sabtu, 15 April 2023 | 2:44pm
Koleksi busana Minaz Blooming Raya sasar generasi muda.
Koleksi busana Minaz Blooming Raya sasar generasi muda.
 Layka Al Funsu dilantik sebagai duta bersesuaian dengan corak dan rekaan lebih segar dan muda
Layka Al Funsu dilantik sebagai duta bersesuaian dengan corak dan rekaan lebih segar dan muda

73 koleksi busana malar segar, hangatkan sambutan Aidilfitri

Mengenengahkan fesyen modest tempatan yang memberi fokus kepada wanita dan keluarga, jenama Minaz kembali mewarnai industri fesyen dengan koleksi Minaz Blooming Raya.

Memilih rekaan khusus untuk golongan anak muda dengan corak polos dan klasik, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hafiza Hamid, berkata gadis TikTokers yang tular memiliki suara merdu seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Layka Al Funsu akan mewakili seluruh penceritaan kempen raya, tahun ini.

"Pemilihan Layka Al Funsu sebagai duta bersesuaian dengan corak dan rekaan yang lebih segar dan muda.

"Jika dahulu, kami lebih memberi fokus kepada individu berkeluarga, jadi kami cuba seimbangkan dengan mempelbagaikan koleksi bagi generasi muda, ibu dan anak, tahun ini.

"Layka Al Funsu akan mewakili keseluruhan penceritaan bagi koleksi tahun ini. Kami mahu sasarkan kepada generasi muda," jelasnya.

Menawarkan 73 koleksi raya dengan mainan 27 rona warna, kempen raya tahun ini diberikan nafas baharu dengan suntikan elemen lebih muda agar pemakaiannya tidak hanya terhad kepada musim perayaan.

"Secara keseluruhannya terdapat 73 koleksi ini dan dibahagikan kepada beberapa pilihan. Antaranya, golongan remaja, luxe, anak-anak dan kaum lelaki.

"Tahun ini, kami memberi fokus kepada kain chifon, bermanik dan sedikit campuran sutera Thai untuk memberi nafas baharu kepada rekaan agar lebih angun dan 'vogue'.

"Kami bermain dengan 27 rona iaitu 'pastel' dan 'bold' untuk menceriakan suasana perayaan. Koleksi pertama raya dilancarkan, pada 3 Mac lalu dan dikeluarkan secara berperingkat sehingga hujung bulan lalu.

"Trend raya tahun ini kami memilih rekaan lebih selesa dan malar segar seperti kebaya labuh, baju kurung yang modest. Namun, ia disuntik dengan elemen lebih muda dan tidak hanya terhad kepada pemakaian ketika Syawal sahaja.

"Dan untuk saiz, ia ditawarkan sehingga saiz 4XL," jelas Hafiza.

Meletakkan sasaran 600,000 helai bagi koleksi raya, ulas Hafiza, walaupun keadaan ekonomi tidak menentu, namun kehangatan raya tetap dirasai dan masyarakat Malaysia akan berbelanja besar bagi menyambut musim perayaan.

"Sasaran sepanjang tahun ialah lebih 4 juta, bersamaan dengan RM60 juta untuk jenama ini.

"Walaupun keadaan ekonomi tidak menentu, tahun ini, raya tetap raya. Orang kita tetap akan berbelanja. Lihat sahaja sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kehangatan raya tetap terasa," tambahnya lagi.

Berita Harian X