Rekaan dan keselesaan antara perkara yang menjadi dititikberat ketika mahu membeli kasut baharu kerana ia akan dipakai selama berjam-jam.
Atas faktor itu membuatkan seseorang mempunyai kasut tertentu yang menjadi kesukaan dan tanpa jemu memakainya selagi tidak rosak.
Setia pada satu-satunya kasut bukan menandakan seseorang itu kedekut atau tidak mempunyai sepatu lain, tetapi keselesaan menjadi sebab sepatu sentiasa jadi pilihan untuk bergerak, benar-benar memaksudkan 'menang membeli, alah memakai'.
Justeru, elemen keselesaan dan rekaan ringkas tetapi elegan menjadi titik tolak kepada Daiyan Trisha untuk mengabadikan sentuhan peribadi dalam 10 rekaan kasut untuk koleksi 'Clarks x Daiyan Trisha.
Gadis manis berbakat besar sebagai penyanyi, penulis lirik, pelakon mengetengahkan warna putih, coklat, kuning, hitam, merah jambu sebagai rona pilihan untuk koleksi yang mendapat sentuhannya.
Dalam koleksi musim luruh, musim panas ini, rona sedemikian tampak segar, sesuai untuk kasual, dipadankan dengan pakaian pejabat dengan kebanyakan rekaannya bertumit rendah, tapak rata yang ringkas tetapi menyerlah.
Beliau yang dua tahun bekerjasama dengan jenama pertukangan kasut yang unggul sejak 1825, mengakui gembira kerana berpeluang berkolaborasi, menyerlahkan rekaan mengikut cita rasa sendiri dan tetap mempunyai sentuhan kontemporari gaya British dengan koleksi kasut formal dan kasual sesuai untuk semua acara.
Rekaan serlah personaliti Daiyan
Tekstur daripada kulit lembut 'tak makan kaki' menjadikan setiap rekaan selesa dipakai dan menyerlahkan personaliti Daiyan yang gemar membabitkan diri dengan kerja sosial, menyerlahkan karektor 'Born tp charm' dalam usahanya mewujudkan masyarakat lebih baik, di samping terus memperkasakan peranan wanita dan kanak-kanak.
Beliau bukan saja anak seni tetapi terbuka berkongsi pengalaman dan perubahan yang diinginkan terutama kerja kemasyarakatan demi kebajikan dan pendidikan kanak-kanak sebagai
serta pemerkasaan wanita.
Menariknya, beliau mendedikasikan masanya untuk menjaga dan menyediakan sokongan kepada dua rumah anak yatim di negara ini untuk membantu meningkatkan kesedaran dan menggalakkan individu untuk memberi inspirasi kepada perubahan dalam menyediakan penjagaan, sokongan dan pendidikan.
Selain itu, kecenderungan Daiyan dalam seni dan kegiatan yang sering dilakukannya membuatkan Clarks memilihnya untuk melancarkan Musim Bunga/Musim Panas 2023 dan meraikan Aidilfitri dengan koleksi kasut rekaannya.
Ketua Pegawai Pemasaran & Digital Global Clarks, Tara McRae, berkata pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan Daiyan untuk kali kedua.
"Lebaran kali ini kami bersama Daiyan lagi. Kami mempunyai kerjasama menakjubkan dengannya tahun lalu, beliau adalah inspirasi kepada rakan kreatif dan generasi muda.
"Kesungguhannya amat sesuai dengan jenama, nilai dan mesej kempen kami 'Untuk Dunia Hadapan' untuk terus bersama mewujudkan impak positif merentas komuniti hari ini," katanya.
Koleksi kolaborasi 'Born To Charm' mempunyai 10 reka bentuk yang sesuai dengan setiap gaya selesa, keutamaan dan estetik.