Pemilihan baju kurung, kurung kedah, kebaya pendek mahupun kebarung terutama pada musim perayaan tidak pernah lapuk ditelan dek zaman kerana peminat busana tradisional ini tetap ada.
Malah, bagi menambah nilai estetik pada baju tradisional berkenaan, penggunaan fabrik kain kapas diguna pakai bagi mengembalikan keagungan tekstil itu sekali gus memberi keselesaan kepada pemakainya.
Melihat trend yang tidak pernah pupus itu, Bayu Somerset, iaitu jenama dengan menghasilkan baju kurung tradisional ini tampil dengan lapan koleksi baju raya 2023 bercorak minimalis.
Pengasas bersama dan Pengarah Kreatif, Diana Kamalul, berkata rekaan ditampilkan dipadankan dengan warna yang mampu menyerlahkan si pemakai pada pagi Syawal.
Katanya, penggunaan warna pastel mampu menaikkan seri di pagi raya sekiranya ditambah dengan aksesori tidak terlalu sarat.
"Lapan koleksi raya 2023, gabungan corak minimalis dan warna menarik, dengan penggunaan kain kapas yang selesa sesuai iklim di negara ini, jadi pastinya menjadi pilihan tepat bagi mereka yang inginkan sesuatu yang ringkas tetapi tampak elegan ketika Syawal.
"Koleksi meliputi 133 corak yang mempunyai tema masing-masing, iaitu dikenali sebagai Elora, Floral, Tie Dye, Niaasom, Bunga dan Bintang, Merdu, Pop dan Premium Bersulam.
"Tahun ini, kami menyediakan koleksi untuk ibu dan anak perempuan berdasarkan permintaan sebelum ini selain harganya juga amat berpatutan bermula RM99 untuk dewasa dan RM79 untuk kanak-kanak.
"Tetapi ada juga koleksi premium yang bermula pada harga RM129, tetapi harganya tetap berbaloi," katanya.
Rekaan sopan, fabrik tak jarang
Menurut Pengarah bersama, Emir Fauzi, ini tahun kedua koleksi raya diperkenalkan kerana sambutannya yang begitu memberangsangkan, selain corak ditawarkan memang sering menjadi pilihan.
"Ada juga corak baju dilukis oleh ilustrator kami dan coraknya memang terbaharu di pasaran yang turut diminati kaum lain seperti Cina dan India.
"Rekaan kain lipat juga sangat menjaga sensitiviti, adab selain fabrik digunakan juga tidak jarang dan sejuk.
"Ada pelbagai disediakan. Cuma masa depan ada cadangan dibuat sehingga 5XL. Semua koleksi kami adalah baju yang longgar dan tidak terlalu ketat," katanya.