MELBOURNE: Jenama pakaian Australia bertindak biadap apabila mencetak nama Allah di atas baju yang diperagakan ketika Pertunjukan Fesyen Melbourne, Sabtu lalu.
Jenama pakaian itu mempamerkan dua reka bentuk persalinan dalam pertunjukan terakhir festival itu, iaitu satu daripada rekaan menampilkan seorang model memakai 'jumpsuit' tanpa lengan diperbuat daripada fabrik lutsinar dengan tulisan Arab bertulis 'Allah berjalan bersama saya' di seluruh badannya.
Kepala, leher dan telinga model itu juga ditutup dengan kain sama, dianggap oleh sesetengah orang sebagai menyamai tudung atau hijab, pakaian yang dipakai Muslimah.
Menurut Mona Khalifa, blogger fesyen Muslim yang menghadiri pertunjukan itu, beliau amat "terganggu" apabila melihat rekaan itu di depan mata.
"Menggunakan frasa suci dan menulis kalimah 'Allah' dalam bahasa Arab, yang suci kepada orang Islam tetapi juga orang Kristian … adalah salah dalam banyak peringkat."
Berikutan itu, Mona Khalifa memuat naik video TikTok meluahkan rasa marah dan kesalnya dengan rekaan fesyen itu, lapor Samudera.my
Tegasnya, rekaan itu "secara terang-terangan tidak menghormati" untuk orang Islam dan Kristian Arab yang berkongsi perkataan Arab yang sama untuk 'Tuhan'.
Susulan kontroversi itu, Festival Fesyen Melbourne dan pereka fesyen Not A Man's Dream telah mengeluarkan kenyataan media memohon maaf.
"Festival ini tidak berniat untuk tidak menghormati sesiapa dan kami memohon maaf atas sebarang kesalahan yang dilakukan." katanya.