PENGGAYAAN busana dan fesyen tempatan tahun ini dilihat mempunyai kesinambungan lima warna popular melatari sejak musim bunga dan panas yang lalu.
Warna sejuk dan lembut seperti hijau, ungu dan biru menjadi pilihan popular, selain ada sesetengah orang lebih menggemari warna terang, kuning dan merah.
Pereka fesyen, Ezuwan Ismail, menjelaskan warna 2023 adalah daripada spektrum warna ungu iaitu Digital Lavender, kuning (Sundial); merah (Luscious Red); (Tranquil Blue) dan hijau tembaga (Verdigris).
"Lima warna ini lebih menyerlah berbanding rona pastel yang dominan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selain warna selamat, hitam atau putih.
"Trend warna 2023 ini juga lebih terarah kepada 'mood' ketenangan dan penyembuhan berikutan beberapa tahun seluruh dunia terkurung dengan pandemik COVID-19," katanya.
Katanya, kelima-lima warna 2023 itu adalah kombinasi warna asas dan ia menjadikannya satu warna yang lain.
Sundial adalah kombinasi warna coklat, keemasan dan krim tetapi ia bukanlah rona kuning 'mustard'.
"Rona Verdigris pula adalah kombinasi warna biru atau hijau kehijauan, iaitu hijau tembaga. Rona ini kebiasaan orang kita mengenalinya sebagai warna dusty green, iaitu spektrum warna pudar.
"Bagi Tranquil Blue ia adalah dusty blue, satu warna yang menenangkan, polos, semula jadi dan harmoni.
"Merah (Luscious Red) warna terang, lambang keseronokan dan keghairahan, memberikan pesona keceriaan, menyerlah dan rona membuatkan orang yang memandang menyedari rona itu," katanya.
Berikutan warna-warna berani itu, Ezuwan tampil dengan rekaan abaya yang diperkenalkan sejak Ogos tahun lalu.
"Menggunakan warna popular ini, abaya tidak lagi nampak hanya hitam atau putih, yang biasa untuk menunaikan umrah tetapi cantik digayakan untuk acara glamor.
"Ini kelainan daripada warna lebih menyerlah, 'garang' selepas dua tahun rekaan dan penggayaan fesyen 'sepi' dek belenggu virus COVID-19," katanya.
Cetusan warna tampak lebih bergaya
Katanya, cetusan warna 2023 juga mungkin mewujudkan trend busana pengantin, pakaian raya sekiranya peminat fesyen tempatan mahu mengikuti warna global dalam penggayaan mereka.
"Jadi sebagai pereka, saya suka menerapkan elemen warna terkini dalam rekaan dan ini bermakna ia adalah koleksi berbeza dengan tahun sebelumnya.
"Misalnya menjelang Aidilfitri akan datang, saya sudah mula mengambil tempahan selain mengeluarkan koleksi sedia dipakai atau ready to wear (RTW) raya Ezuwan Ismail akan dilancarkan sebelum puasa.
"Bagi tempahan akhir, saya terima hingga hujung bulan ini dan biasanya pelanggan tetap mereka tempah baju dua minggu raya.
"Berikutan semua orang mungkin balik raya, saya menjangkakan volume atau permintaan agak tinggi untuk orang melaram, kerana masing-masing teruja mahu beraya, bergaya," katanya.
Bagi koleksi raya pula, Ezuwan berkata kurung 'basic' akan menjadi pilihan raya kerana ia sesuai dipakai seharian, potongan selesa dan fabriknya tidak merimaskan.
"Ini kelaziman orang berjaya, mereka lebih suka pakaian yang tidak panas, selesa, jadi memang saya pelbagaikan rekaan kurung RTW, yang penting ia selesa dan tidak panas.
"Tetapi untuk digayakan ke jemputan rumah terbuka, pelanggan lebih cenderung membuat tempahan, rekaan fesyen lebih 'extravaganza' atau glamor. Jadi kita akan bermain dengan corak dan potongan, yang penting selesa dan material tidak panas.
Katanya, beliau mungkin mengadakan pertunjukan fesyen, namun jika ia tiada, koleksi itu akan dibuat dalam versi kempen raya.
"Temanya suai dan padan (mix and match) dan ia memberikan kebebasan penggayaan untuk dipadankan dengan beg, kasut iaitu seseorang itu tak nampak bergaya berlebihan, 'simple' tetapi tetap elegan dan minimalis," katanya.