BUSANA tradisional yang melambangkan peradaban sesuatu bangsa terutama masyarakat Melayu terus dihayati generasi muda, sekali gus menggambarkan nilai tradisi unggul itu masih mendapat tempat di hati mereka.
Meskipun perubahan globalisasi yang pantas dengan kemunculan pelbagai fesyen kontemporari, minat dan kecenderungan golongan muda menggayakan busana tradisional dalam sebarang aktiviti, turut memartabatkan budaya tradisi dan peradaban bangsa Melayu agar tidak pupus.
Kesinambungan itu diserlahkan pelajar semester akhir Diploma Komunikasi dan Media dari Pusat Pengajian Komunikasi dan Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau mengambil inisiatif menganjurkan Pertandingan Busana Tradisional Negeri Sembilan sempena Karnival Nogorihood, baru-baru ini juga wajar dipuji.
Pertandingan di Dewan Biduanda UiTM itu berjaya mencuri tumpuan mereka yang hadir.
Karnival Nogorihood adalah aktiviti akhir pelajar UiTM khususnya pelajar semester akhir Diploma Komunikasi dan Media, sebagai sebahagian daripada program untuk merapatkan hubungan antara mereka dengan komuniti setempat.
Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah, Kolej Vokasional Dato' Undang Muhamad Sharip, Sekolah Kebangsaan (SK) Pilin, SK Undang, SK Kundor dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pedas, antara yang menyertai pertandingan itu.
Pengurus pertandingan, Ashikin Ednirwan, berkata idea pertandingan busana tradisional itu bertujuan menerap pakaian tradisional Negeri Sembilan dalam kalangan pelajar UiTM.
Katanya, ia sekali gus memberi peluang mengasah bakat terpendam kalangan pelajar dan orang awam yang menyertai pertandingan ini.
"Selain itu, memberi kesempatan mereka untuk mempamerkan kreativiti tersendiri bagi mencipta busana tradisional daripada bahan terpakai seperti kain lama, kertas dan sebagainya," katanya.
Peserta pertandingan diadili Guru Pakar Pendidikan Seni dan Visual, Datin Dr Roziah Ahmat Nor dan Pengaruh Fesyen, Siti Mashitah Zul Atfi.
Pemenang pertama dari Kolej Vokasional Dato' Undang Muhamad Sharip yang dianggotai tiga pelajar, iaitu Nor Afrina Adawiyah Nor Alias, Noor Intan Aleeya Abu Hassan dan Farra Najwa Aqila Mohd Yusof.
Mereka membawa pulang wang tunai RM200 dan hadiah sampingan bernilai RM250.
Ashikin berkata, pertandingan itu berpotensi menjadi perintis dan platform untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa dan pengunjung mengenai keunikan Negeri Sembilan.
"Kami berharap pertandingan dapat memberi manfaat dan pendedahan yang positif dalam usaha memastikan budaya tradisional terus segar dalam masyarakat dan generasi muda," katanya.