Sisa sampah terutama sisa plastik yang sukar dilupuskan boleh dikitar semula dengan mencipta sesuatu yang menarik serta mampu memberi manfaat kepada manusia.
Namun, bagi mereka yang kreatif, sisa sampah ini masih mampu diurus dengan baik bagi mengelak pencemaran alam sekitar dengan mereka ciptaan fesyen yang mengagumkan.
The Greenfingers Wildlife Initiative Trashion Show, diadakan baru-baru ini mengetengahkan acara fesyen tahunan di Nigeria yang meraikan reka bentuk fesyen kreatif yang diperbuat daripada sisa sampah dan menggalakkan pengurangan dan kemampanan bahan itu.
Acara fesyen ini ditubuhkan pada 2012 dan pengasasnya, Chinedu Mogbo, meraikan rekaan fesyen yang dipakai oleh model di pentas peragaan dengan memakai pakaian diperbuat daripada sisa sampah.
Mogbo berkata, seluruh Afrika berhadapan dengan masalah pelupusan beribu-ribu tan sisa sampah pada setiap hari di Lagos seperti sisa pembuangan plastik.
Lagos adalah ibu kota komersial Nigeria dan negara yang paling ramai penduduk di Afrika dengan anggaran populasi seramai 25 juta.
The Green Fingers Wildlife Initiative, sebuah agensi pemuliharaan yang memperoleh dana dari kutipan derma bekerjasama dengan golongan muda mengadakan kempen bagi mewujudkan persekitaran yang lebih baik.
Cipta fesyen dari plastik sampah
"Kami melancarkan pertunjukan fesyen ini dengan menghasilkan karya seni, kemudian kami berpendapat sampah ini boleh direka dan dicipta menjadi sebuah pakaian, digayakan dan dipakai oleh model.
"Kami bergaya di atas pentas peragaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu pencemaran plastik yang turut menjejaskan hidupan liar, selain dijadikan sebuah idea kreatif," kata Mogbo.
Pereka fesyen, Joy Udoka-Obi, berkata kesemua produk reka bentuk untuk pakaian yang mereka guna diperbuat dari sisa sampah ini juga boleh dikitar semula.
"Selain itu, prosesnya bukan mudah seperti mencari dan mengutip botol plastik serta dikumpulkan di satu tempat.
"Kami juga mengutip beberapa nilon di sekitar pantai dan mengitar semula untuk direka sesuatu yang boleh dipakai oleh seseorang," kata Joy.
Jaga alam sekitar
Pengurusan pelupusan sampah di Nigeria menjadi satu cabaran yang besar walaupun beberapa usaha berjaya dilakukan kerajaan dan organisasi komersial.
Seorang model yang berusia 15 tahun, Eyeoyibo Joyce bersama-sama golongan muda lain lebih cenderung untuk memberi sepenuh perhatian kepada masalah besar negara dan benua mereka ini.
Joyce menasihatkan kepada penduduk Lagos dan di seluruh Nigeria supaya mereka mengurangkan penggunaan dan mengitar semula sesuatu yang patut dilakukan demi menjaga alam sekitar.
"Penduduk sekeliling perlu menguruskan sampah mereka dengan betul, bukannya dengan membuang sampah di merata-rata tempat," kata Joyce.
Aktivis alam sekitar bekerjasama dengan golongan remaja dalam usaha mereka untuk mewujudkan persekitaran yang lebih baik dan bersih walaupun medium itu tidak menjadi satu kebiasaan, mesej tetap dapat disampaikan dengan baik. - AGENSI