Sabtu, 1 Oktober 2022 | 4:32pm
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri. - NSTP/Hazreen Mohamad
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri. - NSTP/Hazreen Mohamad

Pertunjukan fesyen promosi keunikan seni tekstil Malaysia-Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi bersetuju menganjurkan Pertunjukan Fesyen Malaysia-Arab Saudi, di sini yang akan memberi fokus dalam mempromosikan keunikan seni tekstil kedua-dua negara.

.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan perkara itu dicapai menerusi mesyuarat dua hala antara menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Kebudayaan Arab Saudi, Putera Badr Abdullah.

"Selain itu, antara perkara yang dibincangkan termasuk kerjasama kebudayaan khususnya dalam bidang pemuziuman antara kerajaan Arab Saudi dan Malaysia pada tahun depan," menurut kenyataan itu.

Nancy mewakili kerajaan Malaysia ke Persidangan Dunia UNESCO mengenai Dasar Kebudayaan dan Pembangunan Lestari (MONDIACULT 2022) yang diadakan di Mexico City, Mexico, pada 28 hingga 30 September lalu.

MOTAC dalam kenyataan sama memaklumkan Nancy menyampaikan kenyataan negara yang bertemakan 'Renewed and Strengthened Cultural Policies' dalam persidangan itu.

Melalui kenyataan negara itu, beliau berkongsi inisiatif negara dalam membangunkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) sebagai sumber rujukan membentuk masyarakat Malaysia yang berbudaya ke arah menjadi sebuah negara maju.

Menurut kenyataan itu, Nancy turut mengutarakan perencanaan Malaysia dalam hala tuju sektor kebudayaan melalui transformasi pendigitalan dan pelaburan khusus berpaksikan pemeliharaan, pemuliharaan serta pengembangan industri seni, budaya dan kreatif.

Sebagai wakil Malaysia yang juga anggota Jawatankuasa Antara Kerajaan Untuk Melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara untuk sesi 2022-2026, Nancy turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Menteri Kebudayaan, Guatamala Mario Roberto Maldonado Samayoa.

Antara perkara yang dikongsikan dalam pertemuan itu adalah pengalaman mengenai pencalonan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (WTK) di bawah Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO.– BERNAMA

Berita Harian X