Selasa, 19 April 2022 | 10:27am
Pelanggan menempah baju kerana inginkan kesempurnaan dan cita rasa. - Foto/NSTP
Pelanggan menempah baju kerana inginkan kesempurnaan dan cita rasa. - Foto/NSTP

Baju raya untuk bertubuh gempal sukar didapati

KUALA LUMPUR: Kewujudan pelbagai jenama pakaian siap dipakai atau ready to wear (RTW) di pasaran tidak menjejaskan kebiasaan pelanggan membuat tempahan baju raya daripada butik tertentu ketika menjelang musim perayaan.

Bagi peminat fesyen, mereka sentiasa menginginkan yang terbaik dan mencari rekaan yang benar-benar sesuai, selesa terutama yang bertubuh gempal kerana tidak perlu memikirkan tambahan kos untuk pengubahsuaian.

Tinjauan BH di Bangunan MARA di Jalan Raja Laut, mendapati pelanggan lebih berpuas hati kerana dapat memenuhi cita rasa dengan tempahan busana dibuat.

Pembantu kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Ara Mira, 31, berkata beliau lebih cenderung menempah baju raya berbanding beli siap kerana sering kali tidak memuaskan hatinya

"Menempah lebih baik dan boleh mengikut cita rasa kita. Saya suka membuat tempahan kerana lebih selesa kerana mengikut saiz badan kita. Jika beli yang sudah siap ada kalanya tiada saiz yang sesuai dan warna yang diingini juga tidak menepati kehendak kita.

"Selalu yang dah siapa ada tidak kena dan perlu diperbaiki bahagian yang tidak cantik. Contoh dari segi panjang pada lengan atau labuh kaki.

"Ini menyebabkan kita perlu menambah lagi kos bagi tujuan itu," katanya.

Pendapat sama dikongsi ibu tunggal, Shaleena Ismail, 48, mengakui baju sentiasa menepati cita rasa beliau dan anak perempuan adalah dengan membuat tempahan daripada tukang jahit.

"Banyak perkara perlu diambil kira. Kalau pakai baju saiz besar susah nak dapat, seperti saya bertubuh gempal jika ada ia pula tidak seperti yang dimahukan, jadi lebih baik tempah.

"Jadi memang setiap tahun saya akan buat tempahan. Bukan sahaja cantik, tetapi selesa apabila tukang jahit sudah siap-siap ukur," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui tempahan baju sekarang lebih mahal berbanding dahulu.

Mimi Aurora pula lebih suka pakaian RTW kerana banyak di pasaran dan pelbagai rekaan. - Foto/Ihsan Mimi Aurora
Mimi Aurora pula lebih suka pakaian RTW kerana banyak di pasaran dan pelbagai rekaan. - Foto/Ihsan Mimi Aurora

Berbeza dengan kakitangan swasta, Mimi Aurora Malek, 28, berkata beliau lebih gemar memilih pakaian siap dipakai kerana tidak perlu membuang masa mencari kerana mudah didapati, selain rekaannya pelbagai.

Katanya, beliau teruja membeli pakaian warna sedondon kerana kali pertama bersama suami dan anak sulungnya berusia setahun setengah menyambut Syawal.

"Jadi beli yang sudah siap, senang cari baju tema warna sama dan sedondon untuk sekeluarga.

"Saya sudah beli busana diingini, iaitu kurung moden, baju Melayu untuk suami dan anak lelaki warna hijau sedondon," katanya yang akan pulang beraya di kampung suami di Ipoh, Perak.

Berita Harian X