Selasa, 20 April 2021 | 11:02am
Sunny Setiawan (tengah) diiringi pereka fesyen, Salikin Sidek (kiri) dan pereka fesyen, Calvin Thoo pada Pratonton Koleksi Ramadan-Raya Bersama AEON di Pusat Beli-Belah AEON Shah Alam. - Foto/Faiz Anuar
Sunny Setiawan (tengah) diiringi pereka fesyen, Salikin Sidek (kiri) dan pereka fesyen, Calvin Thoo pada Pratonton Koleksi Ramadan-Raya Bersama AEON di Pusat Beli-Belah AEON Shah Alam. - Foto/Faiz Anuar

COVID-19: Jejaskan rezeki pereka fesyen

SHAH ALAM: Pandemik COVID-19 melanda negara sejak tahun lalu, menyebabkan banyak perniagaan terjejas sehingga ada yang terpaksa gulung tikar dan sesetengahnya beroperasi dengan pendapatan amat sedikit termasuk dalam industri fesyen.

Dua pereka fesyen terkenal, iaitu Salikin Sidek dan Calvin Thoo yang turut terkesan apabila industri mereka kurang mendapat sambutan terutama pada sambutan Aidilfitri lalu dan hampir sama dirasai tahun ini.

Salikin berkata, pada Aidilfitri tahun lalu, beliau hanya mendapat tempahan pakaian sebanyak 10 peratus berbanding jumlah biasa daripada pelanggan tetap.

Bagi pakaian 'ready to wear' (sedia dipakai) pula katanya, sepatutnya menjual pakaian itu di sebuah pusat beli-belah, tetapi kerana pandemik beliau mendapat notis di saat akhir memaklumkan tidak dapat dijual di situ.

"Saya mengalami kerugian yang besar masa itu apabila pakaian 'ready to wear' tidak dapat dijual langsung dan tempahan pakaian menurun mendadak

"Ketika itu tidak boleh rentas negeri jadi disebabkan tidak boleh balik ke kampung ramai yang buat keputusan tidak mahu tempah pakaian seperti sebelum itu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun Salikin berkata, tahun ini keadaan lebih baik apabila sejak tiga bulan lalu, beliau sudah menerima tempahan pakaian raya daripada pelanggan tetap dan mereka yang berada di luar negara.

"Bagi pakaian 'ready to wear' pula, saya turut menerima tempahan sejak tiga bulan lalu dan akan ditempatkan koleksi berkenaan di sebuah butik.

"Pakaian 'ready to wear' yang tidak sempat jual pada Aidilfitri tahun lalu pun saya akan jual di butik berkenaan" katanya.

Beliau juga sudah siap menghantar tempahan pakaian daripada pelanggan yang berada di luar negara termasuk di Singapura dan Australia.

"Saya bersyukur apabila Aidilfitri kali ini mula menerima tempahan walaupun keuntungan tidak banyak seperti sebelum ini.

"Bagaimanapun, saya amat bersimpati dengan rakan lain yang kurang bernasib baik sehingga ada terpaksa menutup terus perniagaan akibat kerugian teruk,"katanya.

Sementara itu, Calvin berkata, beliau turut menerima nasib sama apabila hanya kira-kira 20 peratus pelanggan tetap datang menempah pakaian raya daripadanya.

Katanya, kebanyakan pelanggan tetap datang pula hanya menempah pakaian raya yang 'simple' kerana mereka memaklumkan tidak perlu pakaian anggun seperti sebelum ini kerana beraya di rumah sahaja.

"Tetapi pada Aidilfitri tahun ini saya semakin banyak mendapat tempahan bukan sahaja daripada pelanggan tetap tetapi juga daripada pelanggan dari luar negara," katanya.

Katanya, untuk tahun ini beliau tidak menjangkakan akan mendapat keuntungan banyak seperti sebelum ini, tetapi ia lebih baik berbanding Aidilfitri pada tahun lalu.

"Saya berharap sangat pandemik ini berlalu segera dan kita dapat menjalani kehidupan normal seperti sebelum ini.

"Saya yakin bukan industri ini sahaja yang terjejas tetapi ramai lagi. Kita perlu terus berusaha untuk menaikkan semula walaupun akan mengambil masa," katanya.

Berita Harian X