KUALA LUMPUR: Sepanjang 15 tahun mengenali Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, pereka fesyen, Datuk Rizalman Ibrahim sentiasa menjadi pilihan nombor satu menggalas tanggungjawab sebagai ‘tukang jahit’ kepada keluarga diraja itu.
Justeru, sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Rizalman ketika ini sedang bertungkus-lumus menyiapkan 18 pasang, termasuk dua daripada persalinan yang akan dipakai Tunku Azizah dan puteri, pada 30 Julai ini.
Ketelitian dan kreatif antara elemen penting diutamakan Rizalman bagi mempamerkan persalinan menarik pada hari penuh bersejarah itu yang bakal disaksikan jutaan rakyat dalam dan luar negara.
Pada acara gilang-gemilang bakal berlangsung di Istana Negara itu nanti, Tunku Azizah akan menyarungkan dua busana rekaan Rizalman yang menggunakan fabrik tenun hasil kerja tangan banduan dari Penjara Penor dan Bentong, Pahang.
Konsep rekaan Rizalman terarah memartabatkan seni kraf tempatan menerusi rekaan dan dinamakan baju kurung ‘Tuanku Raja Permaisuri Agong’.
“Potongannya ringkas, tidak mempunyai pesak mahupun kekek. Rekaan menterjemahkan setiap sisi istimewa Tunku Azizah yang mencintai seni kraf tempatan. Baginda meminati fabrik seperti songket, batik dan tenun yang menjadi kemestian digayakan.
“Saya menerima enam helaian tenunan dan perlu menyiapkan semuanya. Tetapi difahamkan baginda hanya menyarungkan dua busana untuk majlis itu.
“Daripada enam fabrik tenun itu, lima daripadanya rona kuning pelbagai variasi dan satu berwarna putih gading. Rona putih gading serasi dengan kulit Tunku Permaisuri, tetapi sama ada rona itu akan digayakan pada hari pertabalan, terpulang kepada baginda,” katanya ditemui di butiknya, di sini, baru-baru ini.
Antara perincian sulaman pada busana itu adalah gabungan elemen lambang bulan dan bintang yang ada pada bendera Johor, manakala gading dan tombak, pada bendera Pahang.
“Ini mencipta sejarah apabila insan begitu berpengaruh menyarungkan hasil tenun yang dibuat oleh banduan.
“Kemuliaan hati baginda terserlah apabila mengangkat nilai estetika hasil kerja tangan banduan untuk disarungkan pada Hari Pertabalan,” katanya.
Ini kali pertama Raja Permaisuri Agong menyarungkan busana kain tenun pada majlis adat istiadat seumpama itu dan bakal mencatat sejarah Malaysia.
“Pada hari pertabalan, Raja Permaisuri Agong memakai kain daripada fabrik tenun berbanding sebelum ini menggunakan songket dari Terengganu dan renda dari London atau Eropah,” katanya.
Tudung direka Rizalman dengan perincian ringkas menggunakan kain sifon dan potongan empat segi berserta selendang menutupi dada.
“Saya akan membantu melilit tudung, termasuk proses meletakkan aksesori Raja Permaisuri Agong,” katanya.
Rizalman turut mengubahsuai baju kurung yang pernah disarungkan Tunku Permaisuri ketika Hari Pertabalan Ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail sebagai Yang Di-Pertuan Agong pada 1984 untuk disarungkan puterinya, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
“Saya ubah suai saiz dipadankan dengan saiz pinggang puteri baginda. Ini kerana ketika itu pinggang Tunku Permaisuri cuma 22 sentimenter,” katanya busana material Duchess Satin.
Rizalman turut dilantik membuat hiasan dalaman di Balairong Seri Istana dengan konsep yang menonjolkan kejelitaan dan keanggunan Permaisuri Agong.