KUALA LUMPUR: Lambakan baju kurung didakwa bukan daripada sentuhan pereka tempatan dibawa masuk dari Vietnam, Indonesia dan China kini memonopoli pasaran berikutan tawaran harga lebih murah.
Biarpun belum musim perayaan, koleksi baju kurung siap mudah didapati di hampir setiap pusat beli belah sekitar ibu kota dan bandar utama seluruh negara.
Tinjauan Berita Harian ke beberapa pusat beli belah sekitar Shah Alam, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Medan Mara, Jalan Raja Laut, dan Wangsa Maju mendapati peniaga mula mempamerkan pakaian menjelang musim perayaan.
Hampir setiap tapak perniagaan sudah menawarkan baju kurung namun setiap satunya tidak banyak perbezaan harga. Setiap pasang dijual pada harga di antara RM30 hingga RM100 bagi pilihan fabrik kapas. Tawaran berbaloi berbanding yang dijual di butik hasil rekaan penjahit tempatan.
Seorang peniaga yang temui berkata, di negara ini tidak ada kilang khusus menghasilkan fabrik berbanding di Indonesia dan China.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Wati berkata, kekangan itu menyebabkan peniaga terpaksa mengimport bahan asas ini selain tawaran harga lebih murah.
“Kami selesa membelinya dalam kuantiti banyak daripada pengeluar atau kilang fabrik luar negara kerana dijual pada harga lebih murah berbanding membelinya daripada pemborong tempatan untuk kuantiti dan kualiti yang sama. Kami kemudian mengupah tukang jahit,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai lokasi tukang jahit yang ditempah.
Seorang lagi peniaga, Shaz Ibrahim Kadir, berkata beliau serta peniaga lain terpaksa mengambil pakaian dari luar negara kerana kos operasinya lebih murah berbanding mendapatkan material di sini dan mengupah tukang jahit tempatan.
Beliau berkata, tidak dinafikan kualitinya tidak sehebat yang dihasilkan pereka tempatan, namun dari segi kualiti dan harga masih mampu dibeli kebanyakan pelanggan tempatan.
“Kami melihat kepada pasaran mass di mana produk sama pada harga lebih murah walaupun kualitinya tidak sehebat jahitan tempatan,” katanya ketika ditemui BH baru-baru ini.
Peniaga seakan melepaskan batuk di tangga asalkan mendapat keuntungan berlipat kali ganda tanpa menitikberatkan kualiti produk yang dijual. Kebanyakan peniaga pula enggan ditemuramah malah menafikan koleksi pakaian diambil dari luar, walaupun ada segelintir mereka mengakui mereka terpaksa berbuat demikian bagi mengurangkan kos operasi perniagaan yang meningkat berikutan kenaikan kos upah tukang jahit dan sewa kedai.
Harga murah sebegitu bagaimanapun ‘syurga’ buat golongan sederhana selain peluang semua lapisan masyarakat terutama yang gemar berbaju kurung ke tempat kerja. Pemerhatian juga mendapati, koleksi baju kurung yang dibawa nampak seperti busana tradisional tetapi hakikatnya potongan yang ditampilkan tidak tepat selain rekaannya tidak memenuhi keaslian sentuhan.
Selain fabrik kapas, pilihan material lain termasuk mosscrepe, sifon dan renda. Pakaian import pilihan daripada kain kapas kelihatan agak kasar sementara kemasan jahitannya tidak sempurna. Kelihatan kesan tetas di antara benang dengan kain. Corak pula tidak menarik dan pudar.
Berkongsi maklumat mengenai tindakan peniaga memborong pakaian dari negara luar, seorang pembeli peribadi, (personal shopper) yang hanya mahu dikenali sebagai Jas, berkata pola perniagaan sebegini lebih menguntungkan.
Beliau berkata, peniaga dapat mengurangkan kos operasi manakala pembeli pula mempunyai banyak pilihan.
Katanya, kos pembelian baju kurang dari Vietnam dan Indonesia lebih murah. Kadar keuntungan yang diperoleh juga berbaloi.
“Contoh, baju kurung fabrik kapas cetakan tema Inggeris dibeli pada harga antara RM30 hingga RM40 sepasang di Vietnam dijual di butik di negara ini antara RM100 hingga RM200. Baju kurung dan kebaya pilihan material mosscrepe dibeli pada harga RM40 hingga RM60 dijual antara RM180 hingga RM300.
“Koleksi kurung fabrik renda pula bagaimanapun agak mahal kerana penghasilannya memerlukan gabungan fabrik lain sebagai pelapik dalam seperti sifon dan satin.
“Bagaimanapun tempahan eksklusif bersifat peribadi atau custome-made di Vietnam mencecah RM150 tetapi jika peniaga membeli secara borong lebih murah namun kualitinya tidak memuaskan,” katanya.
Beliau berkata, menaikkan harga pakaian bergantung kepada peniaga kerana mereka perlu menanggung pelbagai kos antaranya gaji pekerja, sewa kedai, utiliti dan kos pengangkutan. Bagi beberapa peniaga atas talian yang dihubungi, mengakui mengambil koleksi dari negara luar tetapi tidak boleh menjualnya pada harga terlalu mahal, bergantung kepada material, corak dan rekaan.
INFO:
Ciri baju kurung Johor
* Dikenali sebagai Baju Kurung Teluk Belanga yang labuh hingga bawah lutut dengan alas lehernya halus dan tidak berkocek.
* Koleksi Baju Riau Pahang pula potongannya kembang di bawah tanpa kekek dan dipadankan dengan kain selisih atau susun tepi.
* Baju Kurung Kedah menyerupai blaus pendek yang dibuat singkat ke paras punggung dengan potongan longgar dan diperbuat daripada kain cita (kapas).
Pilihan tekstil berbunga kecil daripada kain kasa tebal atau nipis jarang. Potongan pada leher pula bujur sirih dan dipakai bersama kain sarung.