SHAH ALAM: Insiden runtuhan tebing Gunung Kinabalu, pada 2017 memberi idea pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Rechelin Oyukin, memberi inspirasi mengilhamkan koleksi ‘Pride & Beauty’.
Rechelin, 24, pelajar semester enam, Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen, menggunakan lima pasang pakaian denim untuk mereka cipta lima baju ‘upcycle’ dalam usahanya memberi nafas segar kepada kain lama.
“Seluar jeans dan baju denim, saya beli di kedai bundle di sekitar Shah Alam. Kainnya masih elok dan digunting untuk dijadikan produk kitar semula. Pemilihan warna kain biru denim mewakili Gunung Kinabalu sebagai penarik,” katanya kepada BH.
Anak kelahiran Kudat itu mengakui bangga mempopularkan Sabah dengan mengetengahkan idea menerusi rekaan baju bertemakan ‘upcycle’.
“Pening juga apabila mendapat tugasan berkenaan, namun hasil perbincangan dengan rakan dan pensyarah, timbul idea Gunung Kinabalu.
“Untuk mengenal pasti kain sesuai, selain memotong dan menjahit kami mengambil masa hampir dua minggu sebelum menjadi produk baru. Kami bertungkus-lumus menyiapkannya walaupun sering ditolak pensyarah gara-gara tidak menepati tema,” katanya.
Pensyarah Kanan Jabatan Seni Reka Fesyen fakulti berkenaan, Prinses Saliang, berkata sebagai penyelia projek, beliau menggalakkan pelajarnya kreatif dengan sumber alam sekeliling.
“Saya menasihatkan pelajar supaya jangan terlalu taksub dengan rekaan Barat. Kalau boleh utarakan ciri-ciri ketimuran. Memang tidak dinafikan, mereka sukar pada awalnya memandangkan bahan rujukan lebih bersifat global. Namun, perlahan-lahan mengadaptasikan, walaupun tidak 100 peratus, tetapi mampu dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, kemuncak projek ini apabila Rechelin bersama 57 pelajar lain membuat persembahan di Kompleks Kraftangan, Jalan Conlay Kuala Lumpur, Januari lalu.
“Semua pelajar seni reka fesyen menggunakan model profesional untuk memperagakan rekaan masing-masing. Nyata, idea yang ditunjukkan di luar jangkaan terutama bertemakan ‘upcycle’. Projek kali ini turut membantu kerajaan dalam usaha menghijaukan bumi Malaysia,” katanya.
INFO
* Projek bertemakan ‘upcycle’ menggunakan pakaian atau kain lama
* Membabitkan 58 pelajar Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM,
* Masing-masing mengetengahkan lima pakaian