Ahad, 14 Mei 2017 | 10:52am

Fattah serah kepada ketentuan rezeki

PELAKON, Fattah Amin.
PELAKON, Fattah Amin.

KUALA LUMPUR: Biarpun dilihat sebagai antara calon yang berpotensi merangkul gelaran Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH 3.0) dan mengetepikan penyandangnya, Neelofa, Fattah Amin menyandarkan harapannya kepada ketentuan rezeki.

Terlebih dulu meraih kemenangan besar pada kemuncak Anugerah MeleTOP 2017, pelakon yang meledak popularitinya selepas membintangi drama rantaian Suri Hati Mr Pilot enggan meletak harapan tinggi kerana persaingan pada ABPBH 3.0 terlalu sengit.

"Semua terserah kepada rezeki. Insya-Allah jika kejayaan untuk merangkul gelaran Bintang Paling Popular berpihak kepada diri, saya anggap ia sebagai hadiah paling bermakna daripada peminat yang menghargai usaha saya selama ini.

"Secara jujur, saya tidak meletak harapan tinggi atau terlalu yakin untuk menjulang apa juga gelaran dan kemenangan. Berada dalam senarai pencalonan sudah cukup membuat saya terharu dan gembira.

"Saya tidak kecewa jika kejayaan bukan milik saya kerana kalah dan menang adat pertandingan," katanya.

Pada edisi ABPBH 3.0 yang mendekati kemuncaknya di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam ini, Fattah bersaing dalam kategori utama Pelakon TV Lelaki Popular dan dua kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama bersama Neelofa serta Artis Sensasi.

Mengenai gandingan baharunya, Fazura dalam drama Hero Seorang Cinderella, penyanyi lagu Wanita Terakhir itu mengakui, tidak sukar untuk mencipta keserasian ketika di lokasi penggambaran.

"Kerjasama yang diberikan Fazura menjadikan semua urusan menjadi lancar dan seperti dirancang. Pada awal gandingan, kami agak kekok tetapi lama-kelamaan, kami mula memahami karakter satu sama lain.

"Fazura juga sangat komited dalam apa yang dilakukannya dan mudah memberikan kerjasama. Insya-Allah, saya optimis drama yang diarahkan Michael Ang ini tidak akan mengecewakan penonton," katanya.

Berita Harian X