Rabu, 26 April 2017 | 12:19pm

Asyraf tinggalkan sementara dunia lakonan

ANTARA barangan yang dirampas hasil serbuan di lapan pejabat dan unit kediaman yang dijadikan pusat operasi skim pelaburan JJ Poor To Rich (JJPTR) di Pulau Pinang, semalam. - Foto Ihsan PDRM
ANTARA barangan yang dirampas hasil serbuan di lapan pejabat dan unit kediaman yang dijadikan pusat operasi skim pelaburan JJ Poor To Rich (JJPTR) di Pulau Pinang, semalam. - Foto Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR: Demi bisnes keluarga, pelakon baharu, Asyraf Ali, 22, berkorban dengan meninggalkan sementara dunia seni bagi memberi tumpuan kepada perniagaan dalam sektor pembinaan.

Menafikan dirinya mengucapkan selamat tinggal kepada bidang lakonan, Asyraf menjelaskan sukar bagi dirinya membahagikan masa dengan komitmen perniagaan jika masih berkejar ke lokasi penggambaran.

"Tak benarlah saya nak berhenti berlakon. Saya anggap ini tempoh berehat kerana ketika ini, saya terlalu sibuk dengan perniagaan keluarga. Malah, saya terpaksa tolak beberapa tawaran berlakon kerana urusan bisnes.

"Ketika masih menuntut dalam bidang perhubungan awam dan pemasaran di sebuah kolej, saya banyak selitkan masa berlakon.

"Cuma sejak awal tahun ini, saya sudah mula bekerja dengan syarikat milik keluarga. Jadi keadaan sudah tidak seperti dulu.

"Saya percaya dalam hidup ini, ada hal yang terpaksa kita pilih dan lepaskan," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Asyraf pernah dikaitkan dengan Ruhainies selepas membintangi drama Jejak Karmila di TV3. Asyraf mula berlakon sejak Julai lalu selepas menyertai uji bakat Drama Festival KL.

Andai tawaran masih diterima, Asyraf tidak keberatan berlakon jika keadaan mengizinkan.

"Kalau ada produksi yang boleh mengikut jadual kerja saya, mungkin ia boleh dipertimbangkan.

"Ketika ini, saya tidak dapat pastikan tempoh 'berehat' daripada dunia lakonan. Saya akui diri masih muda dan banyak perkara boleh diteroka," katanya.

Berkongsi pengalaman sejak bergelar artis, Asyraf memberitahu, syarikat produksi Zeel Production yang mula menawarkan peluang kepadanya untuk berlakon.

"Bermula dengan drama Meh Sandarkan Pada Aku berdamping dengan Mira Filzah dan Aliff Aziz, peluang seterusnya tiba melalui Jejak Karmila," katanya.

Berita Harian X