Rabu, 5 April 2017 | 9:50pm

Mael XPDC makin sihat, ingin kembali menyanyi

Mael XPDC (kiri). - Foto Hairul Anuar Rahim
Mael XPDC (kiri). - Foto Hairul Anuar Rahim

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan XPDC, Mael, yang dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor, kerana ulser usus dan sakit gout kini semakin pulih dan sedang berehat di rumah.

Pengurusnya, Yazid, berkata Mael dibenarkan keluar hospital pada Sabtu lalu dan bersyukur doktor mengesahkan vokalis itu tidak menghidap penyakit serius.

"Ulser usus yang dihidapinya juga semakin sembuh. Penyakit gout tetap ada, tetapi tidaklah sehingga membahayakan nyawa. Cuma doktor menasihatkan Mael agar mengambil pemakanan sihat mengikut masa yang teratur," katanya yang dihubungi BH Online hari ini.

Minggu lalu, BH Online melaporkan Mael atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim dikejarkan ke hospital gara-gara penyakit usus dan gout.

Mael turut menjadi bahan bualan netizen kononnya beliau nazak selepas ditemui rebah di rumahnya.

Kata Yazid, beliau kesal dengan segelintir masyarakat yang gemar menyebarkan maklumat palsu di media sosial tanpa pengesahan daripada mana-mana pihak.

Sementara itu, mengenai perkembangan Mael, Yazid berkata, vokalis itu juga sudah boleh berjalan, malah mahu memenuhi undangan persembahan seperti sebelum ini.

"Dia sudah tidak sabar untuk membuat persembahan. Malah, Mael juga bersemangat mahu pergi menonton beberapa konsert yang dianjurkan.

"Bagaimanapun, saya mewakili Mael, ingin berterima kasih kepada semua yang tidak putus-putus melawat penyanyi itu sepanjang dirinya berada di hospital. Ramai sungguh yang datang melawat," tuturnya.

Berita Harian X