Khamis, 23 March 2017 | 1:32pm

Che Ta dikecam gara-gara komen Instagram

 ROZITA Che Wan (kanan) dan anaknya Aaisyah Dhia Rana (dua dari kanan) bersama Penolong Naib Presiden Perniagaan GEN NEXT Astro, Mohd Irwan Rauf (dua dari kiri) dan Penerbit Eksekutif Little Princess Aaisyah, Norazian Mohd Zahir pada sidang media majlis perlancaran program realiti Little Princess Aaisyah yang bakal ditayangkan pada 12 April ini di Astro Ria. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
ROZITA Che Wan (kanan) dan anaknya Aaisyah Dhia Rana (dua dari kanan) bersama Penolong Naib Presiden Perniagaan GEN NEXT Astro, Mohd Irwan Rauf (dua dari kiri) dan Penerbit Eksekutif Little Princess Aaisyah, Norazian Mohd Zahir pada sidang media majlis perlancaran program realiti Little Princess Aaisyah yang bakal ditayangkan pada 12 April ini di Astro Ria. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Rozita Che Wan, baru-baru ini dikecam teruk oleh netizen gara-gara meninggalkan komen rawak di laman sosial Instagram isteri Aqasha, Baizura Sabri.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata, beliau meninggalkan komen itu selepas namanya diungkap di bawah sekeping gambar yang dimuat naik oleh wanita berkenaan.

Baru-baru ini, dunia hiburan kecoh dengan isu rumah tangga Aqasha yang kononnya bergolak apabila 'diganggu' orang ketiga. Pelakon jelita, Rita Rudaini, pula dikatakan turut terkait dengan kontroversi berkenaan.

Bagaimanapun, Rozita yang bercakap kepada BH Online menafikan beliau mempunyai masalah atau sentimen peribadi dengan aktres itu.

"Jujur saya katakan, komen itu ditulis tanpa mengetahui siapa yang dimaksudkan menjadi punca pergolakan rumah tangga mereka. Saya komen atas kapasiti sebagai wanita, isteri dan ibu.

"Malah, saya pun tidak mengenali Baizura secara peribadi. Komen saya itu pun ditinggalkan selepas nama saya diungkap di bawah gambar yang dimuat naik Baizura.

"Selepas gambar itu menjadi perhatian ramai, saya dapat tahu ia sudah pun dipadamkan. Cuma, selepas ini saya kena beringat dan memikirkan dari pelbagai sudut sebelum memberikan komen," kata Rozita ketika ditemui pada sidang media mengumumkan program realiti, Little Princess Aaisyah, yang menampilkan anak kesayangannya, Aaisyah Dhia Rana, semalam.

Tegasnya lagi, tiada sebab untuk beliau menjerat diri dengan mewujudkan sengketa bersama Rita.

"Saya memang tiada isu dengan dia (Rita). Jadi, tiada sebab kalau orang nak tuduh saya mengata dirinya dengan menujukan komen itu kepadanya. Saya sendiri tak pernah bergandingan atau bertemu dengannya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rozita akan kembali ke gelanggang lakonan bersama produksi Astro.

"Ikutkan, ada dua telefilem raya yang ditawarkan kepada saya. Namun, berikutan terikat dengan siri jelajah berkongsi pandangan dalam dunia perniagaan bersama sebuah syarikat telekomunikasi, jadi hanya satu tawaran dapat saya terima," katanya.

Menurutnya juga, beliau menerima tawaran itu kerana sudah biasa bekerja dengan pasukan produksi berkenaan, yang turut terbabit dalam program bual bicara kendaliannya, Primadona.

Berita Harian X