Ahad, 12 March 2017 | 6:19pm

Ben Nathan dipantau lima bulan

gn4id:19456492

KUALA LUMPUR: Penyanyi era 1980-an, Ben Nathan, bakal ditempatkan di sebuah rumah khas selama lima bulan dengan pengawasan doktor bagi memantau tahap kesihatan dan mentalnya.

Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave, berkata pihaknya dengan kerjasama usahawan terkemuka, Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir (Tan Sri Jojo) berhasrat mengumpul dana RM50,000 menerusi penganjuran Konsert Harapan Ben Nathan pada 21 Mei ini.

"Ben akan berada di bawah pemantauan doktor bagi memastikan keadaan kesihatannya kembali pulih. Malah, pihak pengurusan Hospital Kuala Lumpur (HKL) turut meluahkan keprihatinan terhadap keadaan penyanyi itu.

"Rumah khas itu bertujuan memantau tahap kesihatannya dan memastikan dirinya mengambil ubat mengikut waktu," katanya kepada BH Online ketika dihubungi, petang ini.

Kata Dave, mereka menganggarkan RM50,000 diperlukan bagi menampung perbelanjaan penyanyi berusia 54 tahun itu sepanjang tempoh pemulihannya.

Justeru, beliau meluahkan kelegaan apabila usaha terbabit mendapat sokongan Tan Sri Jojo, terutama dalam perancangan mengadakan persembahan amal terbabit.

"Barisan artis untuk konsert ini belum disenarai pendekkan, namun saya dan Datuk Zainal Abidin antara yang bakal membuat persembahan bagi membantu Ben," katanya.

Selepas pulih, Dave berhasrat membawa penyanyi Stanza Sepi Sekeping Hati itu ke Jakarta, Indonesia, bagi merakamkan single baharu.

Sebelum ini, keadaan Ben menjadi bualan ramai apabila video memaparkan dirinya dalam keadaan tidak terurus menjadi viral pada penghujung Januari lalu.

Bertahun lamanya, penyanyi itu dikatakan sering kelihatan merayau di beberapa kawasan di ibu kota.

Hasil usaha YA1M dan beberapa pihak termasuk keluarganya sendiri, Ben dibawa ke HKL bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan.

Pagi tadi, Ben muncul dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia bersama imej baharu, selepas lebih sebulan menerima rawatan di hospital berkenaan.

Selain berkongsi perkembangan terkini, beliau juga sempat menghiburkan penonton dengan nyanyian lagu popularnya itu.

Berita Harian X