Selasa, 27 Disember 2016 | 6:39pm

Aaron Aziz 'terasa' muda

Drama Isteri Tuan Ihsan lakonan Aaron Aziz dan Amyra Rosli.
Drama Isteri Tuan Ihsan lakonan Aaron Aziz dan Amyra Rosli.

KUALA LUMPUR: Siapa tidak kenal Aaron Aziz, pelakon kacak berasal dari Singapura yang mencetuskan fenomena sejak mula menceburkan diri dalam dunia seni lebih sedekad lalu.

Ketika namanya di puncak populariti, Aaron digandingkan dengan ramai aktres jelita baik di layar perak mahupun televisyen (TV).

Antara mereka adalah Erra Fazira, Rita Rudaini, Fasha Sandha, Neelofa, Nora Danish, Nur Fathia dan Zara Zya.

Terbaharu, pada usia 40 tahun dan masih 'hot', Aaron kembali dengan drama rantaian, Isteri Tuan Ihsan, di samping Amyra Rosli.

Aktor yang dua kali merangkul trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH ini mengaku sesekali berdamping dengan pelakon remaja, dirinya terasa muda.

"Saya tak kisah digandingkan dengan heroin lama atau baharu. Dulu, ketika mula berlakon, saya kerap digandingkan dengan pelakon senior.

"Sekarang, berpeluang pula berganding dengan pelakon muda. Jadi, sesekali terasa muda jugalah. Sebelum Amyra, saya pernah bergandingan dengan Nur Fathia, Zara dan Siti Saleha," katanya kepada BH Online.

Aaron berkata, filem terbaharunya yang berjudul Kau Yang Satu arahan Osman Ali, turut menggandingkannya dengan aktres muda iaitu Zara Zya.

Mengenai kejayaan drama rantaian, Tuan Anas Mikael, yang menang empat trofi pada Anugerah Telenovela 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Disember lalu, Aaron berpuas hati karya terbitan Pena Creative Pictures Sdn Bhd itu diiktiraf.

"Terima kasih kerana mengiktiraf drama ini," katanya yang turut diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, manakala gandingannya, Zara muncul Pelakon Wanita Terbaik pada majlis itu.

Berita Harian X