Ahad, 18 Disember 2016 | 1:16pm
Ika Nabella
Ika Nabella

Ika Nabella masih terima tawaran berlakon babak dikasari

KUALA LUMPUR: Insiden dirinya dikasari seorang pengarah pada tahun lalu membuatkan pelakon, Ika Nabella, kini lebih berhati-hati setiap kali menjalani penggambaran drama.

Kejadian itu, katanya, bukanlah menyebabkan beliau menolak terus tawaran drama yang mempunyai babak dirinya dipukul, sebaliknya Ika bersikap terbuka menerima undangan lakonan yang datang.

Cuma, beliau akan meminta gandingannya dalam sesebuah drama agar tidak berlebih-lebih apabila menjayakan babak sedemikian.

"Saya bukanlah serik mahupun trauma dengan babak sebegitu selepas kejadian tahun lalu. Malah, saya masih menerima tawaran yang memerlukan saya dikasari dalam adegan tertentu.

"Begitupun, saya mengambil langkah berjaga-jaga untuk tidak membenarkan gandingan saya mengasari saya tanpa tujuan.

"Sebagai contoh, menerusi lakonan drama Sein Dan Luna (TV3), yang masih lagi dalam penggambaran, ada beberapa babak memerlukan 'suami' memukul saya. Jadi, saya akan berpesan kepada pelakon gandingan saya agar tidak berlebih-lebihan," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, bercerita mengenai kehidupan selepas mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Zaid Aznam sejak 30 Julai lalu, Ika memberitahu, beliau kini berada dalam fasa paling bahagia pernah dirasakannya.

Katanya, beliau baharu saja pulang daripada bercuti di kepulauan Maldives bersama suami dan sehingga kini mereka masih dalam tempoh berbulan madu.

"Alhamdulillah, saya tidak pernah menyangka perkahwinan mampu memberikan kita kebahagiaan sehebat ini. Saya berasa amat seronok selepas menjadi isteri dan kehidupan saya juga jauh lebih teratur.

"Jika saya tahu banyaknya kebahagiaan dapat dikecapi selepas bernikah, pasti saya kahwin lebih awal. Malah, rezeki lakonan selepas berumahtangga pula bertambah. Saya cukup mensyukuri segala nikmat dan rezeki yang diberi," ujar pelakon Awak Sangat Nakal itu.

Dalam perkembangan lain Ika bakal sibuk dengan penggambaran sebuah drama di bawah terbitan JS Pictures tidak lama lagi.

Berita Harian X