Khamis, 24 November 2016 | 5:20pm

Arja Lee alami masalah tulang belakang

KUALA LUMPUR: Pelakon Arja Lee dirawat di Pusat Perubatan Prince Court, di sini, sejak Selasa lalu akibat masalah cakera tulang belakang teranjak atau 'slipped disc'.

Pengurusnya, Lin Ramli memberitahu, Arja mula mengadu sakit pada bahagian pinggang sejak minggu lalu.

"Ketika itu, Arja hanya bertahan kerana perlu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dan Melaka atas urusan kerja.

"Apabila pulang ke rumah, sakit yang dialaminya semakin teruk. Saya terus membawa Arja ke hospital untuk membuat ujian X-ray," katanya kepada BH Online.

Biarpun ditahan di wad, Arja masih sempat menjayakan beberapa sesi fotografi.

Lin berkata, Arja dijangka dibenarkan pulang beberapa hari lagi.

Sementara itu, Lin berkata, Arja terpaksa menanggung kos rawatan di hospital berikutan masalah tuntutan insurans peribadinya.

"Setiap bulan kita bayar insuran, tetapi apabila tiba masa kita memerlukan mereka, ada saja alasan diberi," katanya.

Slip disc berlaku apabila bulatan tisu penghubung di sekitar cakera rosak. Ini menyebabkan bahagian lembut seperti gel bahagian cakera, membengkak dan menonjol keluar.

Kesakitan berlaku apabila cakera menekan saraf yang terjejas. Ini menyebabkan pesakit sukar untuk berdiri dan berjalan.

Berita Harian X