Khamis, 24 November 2016 | 2:31pm

Saharul ceburi bidang perniagaan demi masa depan

PELAKON, Saharul Ridzwan
PELAKON, Saharul Ridzwan

KUALA LUMPUR: Pelakon, Saharul Ridzwan, kini berpeluang mempraktikkan serba-sedikit ilmu dipelajari satu masa lalu apabila dilantik sebagai Ketua Projek Pemasaran dan Duta syarikat berasaskan kejuruteraan serta hiasan dalaman, Rafflesia Engineering, baru-baru ini.

Pelantikannya itu bagaimanapun bukan bererti bintang Hati Perempuan ini sudah bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni.

Katanya, beliau menerima tawaran daripada syarikat berkenaan bagi meneruskan cabang kerja yang dikira dapat menjamin masa hadapan selepas hidup berumah tangga.

Saharul melangsungkan pernikahan dengan usahawan dalam talian yang juga pemilik butik, Deena Emir, 28, pada September lalu.

"Sedikit sebanyak jawatan dan tugas ini membolehkan ilmu yang saya pelajari ketika menuntut dalam jurusan Teknologi Penyelenggaraan Pesawat di sebuah kolej di Seremban dulu dapat digunakan.

"Dunia perniagaan sendiri bukan asing dengan saya. Sebelum ini, saya pernah berniaga bedak sejuk dan kuih raya, tetapi bisnes sebegitu dilihat bermusim.

"Jadi, menerusi kerja baharu ini, saya mahu ia menjadi ruang untuk mengukuhkan ekonomi keluarga. Kalau kebanyakan artis lebih terarah kepada perniagaan menjual barang, saya pula mahu melawan arus dengan menawarkan khidmat idea rekaan dan hiasan dalaman untuk rumah, bangunan mahupun hotel," katanya.

Tegas Saharul, walaupun bakal sibuk dengan tugasan baharunya, dunia lakonan tetap akan diteruskan.

"Saya bagaimanapun perlu bijak untuk membahagikan masa antara dua kerja ini. Memang berlakon menuntut saya bekerja dalam tempoh masa panjang, tetapi saya yakin dapat mencuri ruang dan menimba pengalaman dalam perniagaan yang baharu diceburi ini," katanya bersemangat.

Pelakon drama Kau Aku Kita ini juga tidak rela dianggap hanya sekadar menjual wajah menerusi pelantikannya itu, sebaliknya mahu bertanggungjawab di atas mandat yang diberikan.

"Datuk Rosyam Nor, Neelofa dan Fizo Omar antara selebriti yang saya lihat begitu serius menjalankan perniagaan. Saya memandang tinggi insan seperti mereka. Jadi, dengan jawatan baharu ini pun saya kena menukar imej diri menjadi seperti pekerja korporat. Begitupun pada hari lain, saya masih dengan penampilan biasa.

"Pada usia 27 tahun ini, saya mahu serius meneroka apa saja peluang yang ada di depan mata. Jadi, kalau ada mereka yang menginginkan khidmat hiasan dalaman atau bidang berkaitan, bolehlah hubungi saya.

"Saya juga mahu mengubah persepsi sesetengah pihak yang melihat dunia hiburan tidak menjamin masa hadapan. Artis sekarang juga mempunyai masa depan dengan menceburi kerja lain selain berlakon," katanya.

Berita Harian X