Isnin, 24 Oktober 2016 | 1:18pm

Hisyam impi bawa anak di Kuala Lumpur

HISYAM bersama keluarga.
HISYAM bersama keluarga.

KUALA LUMPUR: Membawa dua anaknya yang kini menetap di Singapura untuk tinggal bersama di Malaysia adalah harapan pelakon, Hisyam Hamid, 31, ketika sambutan hari lahirnya pada 20 Oktober lalu.

Katanya, tiada hadiah lebih bermakna selain dapat tinggal sebumbung dengan keluarga tercinta selepas mereka terpaksa berjauhan sejak dua tahun lalu berikutan tuntutan kerjaya seninya di negara ini.

Hisyam memaklumkan, andai tiada aral selain urusan berkaitan berjalan lancar, perancangan membawa dua permata hati mereka akan dapat direalisasikan pada tahun hadapan.

"Sempena hari jadi ke-31 ini, saya berharap hasrat kami sekeluarga untuk tinggal sebumbung di sini dipermudahkan. Mereka kini tinggal bersama ayah dan ibu saya di Singapura kerana masih belajar.

"Faktor utama mereka tinggal di sana kerana sistem pendidikan yang berbeza dengan negara ini. Saya tidak mahu pelajaran mereka terganggu. Namun kami saling berhubung setiap hari sebagai pengubat rindu," katanya kepada BH Online.

HISYAM dan isteri merangkap pengurus kerjaya seninya, Rosmawati Hanafi.
HISYAM dan isteri merangkap pengurus kerjaya seninya, Rosmawati Hanafi.

Hisyam yang tinggal di Kuala Lumpur ditemani isteri, Rosmawati Hanafi, 35, merangkap pengurus kerjaya seninya diraikan dalam majlis sambutan ulang tahunnya di Hotel Royal, di sini, Sabtu lalu.

Pada masa sama, katanya, mereka sudah menyenarai pendek beberapa sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur yang mempunyai sukatan pelajaran sama dengan dipelajari anak-anak, Nurish Syameliah, 9, dan Hayden, 7, di Singapura.

Nama Hisyam yang menyerlah dua tahun lalu menerusi drama berrantai Ariana Rose kini terus menjadi sebutan selepas lakonannya dalam siri Abang Bomba I Love You meraih sambutan luar biasa.

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Hisyam baharu saja memulakan penggambaran drama terbitan Suhan Movies berjudul Sayang Papa Saya Tak bergandungan dengan Emma Maembong sebagai teraju utama.

ANTARA yang hadir dalam majlis sambutan ulang tahun Hisyam, Sabtu lalu.
ANTARA yang hadir dalam majlis sambutan ulang tahun Hisyam, Sabtu lalu.

Berita Harian X