X
Jumaat, 7 Oktober 2016 | 3:32pm

Shima Anuar nafi ubah hidung

PELAKON, Shima Anuar.
PELAKON, Shima Anuar.

KUALA LUMPUR: Pelakon Shima Anuar, 25, menegaskan beliau tidak melakukan sebarang pembedahan kecantikan mahupun suntikan pada bahagian hidungnya seperti diperkatakan ramai, baru-baru ini.

Shima berkata, ekoran tanggapan liar berkenaan, beliau bertindak memuat naik video di Instagram dengan menunjukkan keaslian hidungnya.

"Saya tidak faham kenapa ramai yang menganggap saya melakukan perubahan pada hidung saya?

"Sampaikan, saya terpaksa menghasilkan video untuk membuktikan hidung saya masih asli," katanya kepada BH Online.

Shima menyifatkan, perubahan pada wajahnya itu mungkin berlaku disebabkan diet ekstrim yang dilakukannya sehingga berat badan mencecah 50 kilogram (kg), berbanding 57 kg sebelum ini.

"Dulu, saya nampak sedikit berisi. Namun, akhir-akhir ini saya menjaga rutin pemakanan dan menjalani diet yang ketat.

"Mungkin kerana diet, wajah saya semakin cengkung, sehinggakan orang ingat saya menjalani pembedahan wajah," katanya sambil menegaskan beliau sesekali takkan menjalani prosedur kosmetik sebegitu.

Bagaimanapun, kata Shima, ada sebahagian peminat yang memberi komen positif sejak beliau memuat naik video terbabit, yang membuatkannya berasa lega.

Pelakon yang dikenali menerusi filem Sumpahan Kum-Kum, Bini-Biniku Gangster, Flat 3A dan 7 Petala cinta ini berkata, tujuan beliau menguruskan badan juga disebabkan kerjayanya yang memerlukan beliau sentiasa kelihatan langsing di hadapan kamera.

Dalam perkembangan lain, Shima baru selesai menjalani penggambaran drama Sepatu Tinggi Medina dan Milik Siapa Syurga itu bagi siaran HyppTV. Beliau juga akan muncul dengan filem Hospital dalam masa terdekat ini.

Berita Harian X