Selasa, 27 September 2016 | 12:58pm
ARIZ Lufias bersama keluarga bercuti ke Thailand.
ARIZ Lufias bersama keluarga bercuti ke Thailand.
ARIZ Lufias.
ARIZ Lufias.

Ariz Forteen berdepan detik cemas di Phuket

KUALA LUMPUR: Percutian anggota kumpulan Forteen, Ariz Lufias, ke Phuket, Thailand, baru-baru ini bertukar menjadi detik mencemaskan apabila bot dinaiki dua rakannya hampir karam di pulau peranginan terkenal itu.

Ariz atau nama sebenarnya Saiful Ridzuan Abdul Hamid, 26, bagaimanapun bersyukur apabila mengikut kata hati enggan turut serta mengikuti dua rakannya itu melawat beberapa pulau di persekitaran kerana ingin meluangkan masa bersama keluarganya.

"Syukur pada ketika itu saya mahu meluangkan masa dengan keluarga yang turut bercuti bersama-sama, namun semestinya saya risau akan keselamatan rakan-rakan apabila bot mereka naiki hampir karam. Insiden berpunca daripada keadaan cuaca di Thailand ketika ini yang kurang baik.

"Entah bagaimana, saya tergerak hati untuk menghantar mesej bertanyakan keadaan mereka. Saya kemudiannya dimaklumkan seorang daripada rakan saya pengsan kerana keadaan bot yang kurang stabil. Malah, beberapa penumpang lain turut muntah berhadapan detik cemas itu.

"Biarpun berhadapan dengan detik cemas dan cuaca kurang baik, kami masih dapat menikmati setiap detik percutian, seterusnya melupakan seketika kesibukan kerja. Insya-Allah kami merancang untuk melancong lagi pada tahun depan," katanya kepada BH Online.

Ariz turut berkongsi keterujaan buat julung kali mendapat peluang menaiki gajah berusia 35 tahun dan melawat tempat yang menjadi tarikan pelancong ketika menikmati percutian gabungan keluarga dan rakan-rakannya itu.

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Ariz memberitahu, kumpulan Forteen merancang untuk merakamkan single terbaharu pada penghujung tahun ini. Selain itu, beliau juga baharu saja selesai penggambaran drama bersiri Tak Beli Tak Cinta untuk saluran TV3.

Berita Harian X