Rabu, 14 September 2016 | 3:29pm

Tiada tawaran berlakon, Enot tumpu pada perniagaan

GAMBAR fail pada 2012 menunjukkan Enot (kanan) bersama Didie Alias ketika majlis makan malam Berita Harian sempena ulangtahun 55 tahun di Jalan Riong Bangsar. - Foto Shiraz Ali
GAMBAR fail pada 2012 menunjukkan Enot (kanan) bersama Didie Alias ketika majlis makan malam Berita Harian sempena ulangtahun 55 tahun di Jalan Riong Bangsar. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Pelawak, Alliza Abdullah atau Enot, mengakui terpaksa menumpukan perhatian pada perniagaan apabila sudah lama tidak menerima tawaran berlakon.

Ibu tunggal kepada dua cahaya mata, Andriana Balqis dan Ariana Qaseh Qistina itu berkata, kali akhir beliau beraksi di depan kamera adalah sebelum bulan puasa lalu.

Bahkan, katanya, undangan untuknya mengasah bakat lakonan di televisyen semakin berkurangan sejak 2013.

"Kali terakhir saya berlakon adalah untuk sebuah drama mengenai pembantu rumah, sebelum Ramadan lalu. Selepas itu, tiada lagi tawaran diterima. Jadi, saya kena teruskan hidup, membesarkan dua anak dengan mencari apa-apa rezeki termampu.

"Kalau tidak diusahakan sendiri, siapa lagi yang hendak tolong, bukan? Saya sendiri kena kuat. Jadi, memang sekarang saya berniaga serba-sedikit dan semuanya akan dipromosikan di Instagram," katanya yang sudah empat tahun hidup tanpa suami.

Enot mula berjinak-jinak dengan perniagaan sejak 2009, secara kecil-kecilan.

Beliau menggunakan kemahiran memasaknya untuk mencari rezeki. Ketika musim perayaan, umpamanya, rendang dan ketupat palas antara menu wajib yang ditempah peminat dan teman.

Enot berkata, beliau juga bercadang untuk menyediakan sambal bilis petai cili api dan lasagna daging tidak lama lagi, sebagai tarikan baharu perniagaannya.

Pelakon yang dikenali menerusi drama Mat Despatch itu, berkata beliau sayangkan dunia lakonan tetapi mengakui kurang mendapat tawaran mungkin kerana tidak pandai mempromosikan diri dalam pelbagai acara seni.

"Tetapi, bagaimana saya hendak hadir ke acara sebegitu jika tidak dijemput? Takkan saya nak terhegeh-hegeh ke sebarang majlis tanpa diundang?

"Saya juga sudah lama tidak ditemubual oleh media. Tidak mengapalah, saya percaya rezeki Allah ada di mana-mana. Tuhan sudah tetapkan rezeki masing-masing, jadi saya kena berusaha selagi boleh demi diri sendiri dan anak," katanya.

Berita Harian X