Jumaat, 22 Julai 2016 | 11:16am

Lara Alana miliki jenama pewangi sendiri

PASANGAN selebriti, Awal Ashaari bersama Scha Alyahya dan Lara Alana. - Foto Saifullizan Tamadi
PASANGAN selebriti, Awal Ashaari bersama Scha Alyahya dan Lara Alana. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Permata hati Awal Ashaari dan Scha Alyahya, Lara Alana menjadi anak selebriti pertama yang memiliki rangkaian minyak wangi berupa kolon di bawah jenamanya sendiri.

Produk penyegar badan khusus untuk kanak-kanak dengan pengeluaran pertama memperkenalkan dua jenis bauan segar itu mula diedarkan di pasaran sejak bulan lalu.

Bapanya, Awal berkata, kolon jenama Lara Alana yang dikeluarkan ketika Ramadan lalu adalah percubaan pertama keluarganya meneroka perniagaan produk kecantikan dan penjagaan diri.

"Kami sekarang dalam proses pengeluaran kedua pula untuk kolon kanak-kanak ini. Kehadiran kolon ini juga adalah untuk memberi lebih pilihan kepada ibu bapa untuk mencari penyegar badan buat si kecil memandangkan kebanyakan produk lebih menumpukan kepada pasaran dewasa.

"Mengikut perancangan, selepas kolon Lara Alana, saya dan isteri bakal memperkenalkan pula pewangi di bawah nama kami pula dalam tempoh terdekat. Saya percaya setiap orang mempunyai bauan pilihan malah tidak timbul isu sudah ramai artis lain mengeluarkan pewangi.

"Pengguna berhak diberikan pilihan. Lihat saja jenama minyak wangi antarabangsa yang menyediakan pelbagai seleksi bauan. Saya percaya jika 1,000 artis mengeluarkan jenama, pasti ada pembeli setia," katanya yang masih merahsiakan jenama untuk produk baharu itu.

Sementara itu, kata Awal, kolon yang didatangkan dengan bauan teh hijau dan safron itu dijual pada harga mampu milik iaitu RM39 bagi setiap 100ml sebotol.

Kongsi hos dan pelakon itu lagi, penghasilan kolon jenama Lara Alana juga bertitik tolak kepada pengaruh dan populariti anaknya itu yang kini mempunyai 2 juta pengikut di laman Instagram.

"Tidak dinafikan jumlah pengikut serta impak yang dimiliki Lara antara yang mendorong wujudnya kolon terbabit. Capaian setiap kali kami muat turun gambar atau status sentiasa tinggi malah jumlah pengikut saya dan ibunya juga hampir dikejar Lara," katanya yang diikuti 2.5 juta peminat manakala Scha cecah 3 juta.

Kata Awal, perniagaan yang diusahakan bersama isteri adalah demi persediaan masa depan keluarga terutama untuk Lara yang genap menyambut ulang tahun ke dua, hari ini.

Berita Harian X