Khamis, 21 Julai 2016 | 12:24pm

Pengaruh filem Bollywood dalam masyarakat Sikh Malaysia

PENOLONG Profesor Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Ashwinder Kaur, yang membuat kajian bersama pensyarah UTAR terhadap Pengaruh Filem-Filem Bollywood Ke Atas Persepsi Belia Punjabi Sikh Mengenai Identiti Keagamaan Mereka (The Influence Of Bollywood Films On Punjabi Sikh Youths Perception Of The Their Religious Identity).- Foto BERNAMA
PENOLONG Profesor Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Ashwinder Kaur, yang membuat kajian bersama pensyarah UTAR terhadap Pengaruh Filem-Filem Bollywood Ke Atas Persepsi Belia Punjabi Sikh Mengenai Identiti Keagamaan Mereka (The Influence Of Bollywood Films On Punjabi Sikh Youths Perception Of The Their Religious Identity).- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Filem Hindustan atau Bollywood yang telah lama bertapak dalam masyarakat Malaysia memberi pengaruh yang cukup besar.

Masyarakat minoriti Sikh di negara ini juga tidak terlepas daripada pengaruh filem Bollywood terutama dalam kalangan generasi muda sehingga ada yang sanggup meninggalkan amalan keagamaan yang menjadi identiti unggul komuniti Sikh khasnya simbol utama 5K, yakni kesh (rambut yang tidak dipotong) menerusi pemakaian turban.

Walaupun filem Bollywood bukanlah penyebab utama kepada perubahan yang berlaku dalam masyarakat Sikh yang populasinya kira-kira satu peratus dalam keseluruhan masyarakat Malaysia, namun ia tetap mempunyai pengaruhnya, menurut Penolong Profesor Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Dr Charanjit Kaur Darshan Singh.

Kajian bersama dengan Ashwinder Kaur yang bertajuk Pengaruh Filem-Filem Bollywood Ke Atas Persepsi Belia Punjabi Sikh Mengenai Identiti Keagamaan Mereka mendapati banyak perkara yang dipaparkan mengenai komuniti Sikh dalam filem-filem Bollywood bertentangan dengan amalan dan budaya Punjabi Sikh yang sebenar.

Ini membawa kepada persepsi yang salah bukan sahaja dalam kalangan belia dan komuniti Sikh di negara ini tetapi juga masyarakat Malaysia keseluruhannya yang sememangnya kurang mengenali dan memahami mereka.

Charanjit berkata, sebagai masyarakat minoriti, pendedahan mengenai amalan agama dan budaya masyarakat Punjabi Sikh terutama di media massa adalah sangat terhad.

Yang biasa didengar dan dilihat, hanyalah ketika sambutan Vaisakhi pada 14 April setiap tahun yang mendapat liputan media.

"Tidak ada saluran radio dan siaran televisyen yang khusus untuk masyarakat Punjabi di negara ini. Kurangnya pendedahan ini menyebabkan bukan sahaja kaum lain kurang faham tetapi dalam masyarakat Punjabi sendiri terutama generasi muda tidak mendapat peluang untuk mengetahui falsafah agama Sikh yang ideal," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Apabila filem Bollywood memaparkan karektor orang Sikh khasnya hero sama ada cara berpakaian, perlakuan dan sikap yang ditonjolkan, penonton mengambil mudah dan menerimanya sebagai sebahagian daripada amalan dan budaya Sikh. Walaupun hakikatnya ia adalah tidak secocok dengan prinsip ideal orang Sikh.

Pelakon-pelakon popular Bollywood seperti Akshay Kumar, Saif Ali Khan dan Ajay Devgan adalah antara hero yang pernah memainkan watak lelaki Sikh yang memakai turban.

Ajay Devgan dalam filem "Son Of Sardar" pada tahun 2012, membawa watak orang Sikh yang menggambarkan cara yang negatif melalui kata-kata dan perbuatannya.

Malahan, tubuh Ajay Devgan mempunyai tatu dewa Hindu "Lord Shiva" yang sangat menyimpang daripada prinsip dan etika kehidupan orang Sikh, katanya.

"Komuniti Sikh sentiasa bergerak secara kolektif untuk mempertahankan identiti agama mereka agar krisis identiti Sikh dapat dipantau dan diminimumkan khas sekali dalam kalangan generasi muda.

"Tetapi dengan pengaruh filem Bollywood khasnya, dibimbangi akan memberi satu ancaman terutama ketika berhadapan dengan cabaran masa kini yang mana semakin ramai dalam ahli komuniti Sikh yang tidak mampu mempertahankan simbol 5K khas sekali menyimpan rambut yang dikemaskan dengan pemakaian turban," katanya.

Kajian bersifat fenomenologi ini dimantapkan dengan kaedah temubual. Seramai 15 belia Punjabi Sikh yang berumur antara 16 hingga 23 tahun telah ditemubual.

Mereka terdiri daripada lapan lelaki dan tujuh perempuan di sekitar Lembah Klang.

Antara perkara utama yang ditanya adalah tentang kesedaran pemakaian turban yang sememangnya menjadi identiti masyarakat Sikh di dalam filem-filem Bollywood.

Kesemua responden lelaki dan perempuan menyedari dan sedia maklum bahawa filem Hindi banyak memaparkan karektor individu Sikh kerana pemakaian turban yang amat menyerlah sekali.

Responden lelaki memperlihatkan pengetahuan mereka yang lebih mendalam tentang apa yang dipaparkan di dalam filem mengenai orang Sikh terutama adegan ketika bersembahyang, watak memakai turban dengan janggut dan misai yang ditrim serta penggunaan alkohol.

"Ini menunjukkan bahawa kesan visual yang dipaparkan di dalam filem sangat penting kerana ia mencerminkan nilai keperibadian seseorang.

Contohnya, apabila melihat seorang lelaki memakai turban dan menyimpan janggut lantas memberi gambaran bahawa mereka adalah orang yang alim dan patuh kepada ajaran agama.

"Akan tetapi filem Bollywood telah memperhebatkan lagi stereotaip ke atas orang Sikh dan memaparkan adegan yang sangat bertentangan dengan ajaran ideal agama," katanya.

Sungguhpun begitu, belia Sikh dengan tepat dapat menilai perwatakan negatif hero Bollywood yang melakukan jenayah, meminum alkohol dan menari bersama wanita separuh bogel adalah bertentangan dengan prinsip agama Sikh.

Bagaimanapun, pendapat responden lelaki dan perempuan berbeza mengenai fungsi sebenar pemakaian turban.

Lelaki Sikh melihat pemakaian turban bertujuan untuk melindungi rambut yang merupakan pemberian Tuhan sementara itu perempuan Sikh pula melihat pemakaian turban sebagai lambang identiti, kebanggaan dan hormat.

Masyarakat Sikh yang kini berjumlah 80,000 orang di Malaysia telah datang ke tanah air sejak 1870-an.

Gaya kehidupan mereka berpandukan kitab Guru Granth Sahib yang secara ringkasnya menyarankan kehidupan yang sederhana sifatnya dan berusaha untuk mengekalkan pemberian Tuhan seadanya.

Contohnya, rambut adalah satu daripada pemberian Tuhan sejak di dalam rahim ibu lagi.

Justeru, ia dianggap sebagai sebahagian daripada anggota badan lain yang perlu dijaga dengan baik.

Oleh itu, baik lelaki mahupun perempuan, masing-masing tidak boleh memotong dan trim mahupun membotakkan kepala mereka, katanya.

"Kerana itu, rambut diperkemaskan dengan pemakaian turban. Namun kini tidak ramai dalam kalangan masyarakat Punjabi Sikh yang memakai turban atas pelbagai sebab peribadi seperti mahu kelihatan lebih moden dan penampilan berambut pendek yang agak universal sifatnya.

"Teknologi, fesyen dan kurang kefahaman yang sebenar adalah antara sebab yang menyebabkan generasi muda Sikh tidak dapat memahami kepentingan menyimpan rambut dan memakai turban, justeru menjadi norma sosial untuk berambut pendek bagi kedua-dua gender ini," katanya.

Temubual kajian ini memaparkan kebimbangan belia Sikh lelaki yang berturban kerana kebanyakan wanita Sikh kurang menggemari jika calon suami mereka memakai turban apatah lagi menyimpan janggut yang panjang.

"Ini antara cabaran dan dilema yang dihadapi oleh komuniti minoriti Sikh di Malaysia pada masa kini dalam mengekalkan identiti agama yang ideal," katanya.

Dalam dunia Hollywood, terdapat beberapa filem yang memaparkan watak orang Sikh yang mengekalkan personaliti mereka seadanya dengan keperibadian yang disarankan oleh agama.

Misalnya, filem Learning to Drive, The Darjeeling Limited, The English Patient dan sebagainya berjaya mempersembahkan watak Sikh dengan adil.

Ini termasuk filem Tamil yang dilakonkan oleh Kamal Hassan menerusi filem Dasavathaaram. Malah, watak orang Sikh dalam filem di negara ini wujud sejak zaman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee lagi walaupun kini boleh dikatakan ia tidak penting untuk dipaparkan.

Menurut Charanjit, jika filem-filem tersebut boleh menonjolkan watak Sikh dengan baik, mengapa filem Bollywood sentiasa melabel, sterotaip dan menjadikan orang Sikh sebagai bahan ketawa!.

Finas sepatutnya memantau kandungan filem Bollywood dan mengambil serius perkara ini kerana ia boleh menggugat identiti komuniti minoriti di negara ini, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X