Jumaat, 17 Jun 2016 | 1:27pm

Saharul Ridzwan elak salah faham isu kahwin

SAHARUL Ridzwan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
SAHARUL Ridzwan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR : Pengajaran di sebalik kontroversi membabitkannya dengan beberapa pelakon wanita membuatkan Saharul Ridzwan nekad terus mengunci mulut mengenai perincian pernikahannya yang bakal diadakan selepas Aidilfitri ini.

Saharul atau nama sebenarnya, Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 27, berkata, bukan sengaja mahu merahsiakan butiran namun dia enggan andai kenyataannya di salah tafsir selain menjaga hati banyak pihak.

"Sebelum ini pun saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bercinta dengan mana-mana gadis. Jadi sampai sekarang saya tetap mempertahankan pendirian itu. Tak adil sekiranya saya untuk mengatakan orang itu milik saya kerana belum menjadi hak saya yang sah.

"Bagi saya apabila seseorang itu sudah sah sebagai isteri, baharu saya berani mendedahkan pilihan hati. Ibu bapa membesarkan anak gadis mereka dengan baik, mana mungkin saya dengan mudah mengakui dia milik saya.

"Tambahan pula saya perlu menjaga hati keluarga pihak perempuan dan sekiranya benar berita yang bertebaran ini, tentu tidak manis. Saya harap semua mendoakan yang terbaik. Kita hanya merancang dan Allah yang menentukan segalanya," katanya.

Pada masa sama, dia menjelaskan tidak ralat mendirikan rumah tangga ketika kerjaya seninya sedang memuncak sebaliknya menyerahkan segala-galanya kepada takdir dan rezeki.

"Rezeki ada di mana-mana malah saya tidak terfikir peminat akan 'menolak' lakonan kita disebabkan sudah berstatus suami. Saya lihat ramai pelakon yang sudah mendirikan rumah tangga terus melimpah rezekinya.

"Peminat juga semakin bijak menilai. Kita harus percaya kepadanya dan andai disuratkan saya tiada rezeki berlakon mungkin 'lorong' pendapatan lain dibuka untuk saya," ulasnya lagi.

Terdahulu, difahamkan bakal isteri aktor berkenaan adalah seorang ahli perniagaan.

Berita Harian X