Rabu, 1 Jun 2016 | 4:20pm

Pekin teruja tunggu 'anak sulung'

PELAKON, Pekin Ibrahim. - Foto Aziah Azmee
PELAKON, Pekin Ibrahim. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Pelakon, Pekin Ibrahim yang kini bergelar penerbit teruja menanti kemunculan produk sulung iaitu filem dokumentari berjudul Madness Of Borneo.

Pekin atau nama sebenarnya, Mohd Iznan Ibrahim memilih berada di belakang tabir sebagai penerbit bersama bagi sentuhan Raja Mukhriz yang juga kolaborasi dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

"Teruja rasanya menantikan filem dokumentari yang saya umpamakan sebagai anak sulung ini dan istimewanya kali ini saya menggalas tanggungjawab sebagai penerbit. Saya harap hasilnya nanti dapat memuaskan hati semua pihak kerana pengisiannya menjurus kepada hiburan berinformasi.

"Buat masa ini saya masih mengimbangi kerjaya sebagai pelakon dan penerbit, cuma pada waktu sama perlu bijak membahagikan masa dengan pelajaran. Peluang diberikan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menyambung pengajian tidak harus dipandang ringan," katanya.

Mengambil jurusan Pengurusan Industri Kreatif peringkat Ijazah Sarjana Muda di UUM, dia yang memiliki Diploma Pengajian Filem dari universiti di Jogjakarta, mengikuti pengajian itu secara jarak jauh di kampus UUM Kuala Lumpur (UUMKL).

Menurut bintang filem Munafik itu, fokusnya kini turut terarah kepada perniagaan yang menyediakan khidmat acara serta penganjuran majlis.

Selain itu, filem lakonan Pekin berjudul Kampung Drift dijangka berada di pawagam mulai 4 Ogos ini.

Berita Harian X