Jumaat, 20 Mei 2016 | 7:20pm

Search batal kerjasama dengan penganjur konsert

AHLI kumpulan Search, Amy, Nasir (kanan), Nordin (kiri) bersama peguam, Yusmadi Yusoff (dua kanan) pada sidang media di Sri Hartamas Damansara, hari ini.
AHLI kumpulan Search, Amy, Nasir (kanan), Nordin (kiri) bersama peguam, Yusmadi Yusoff (dua kanan) pada sidang media di Sri Hartamas Damansara, hari ini.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Search mengumumkan menarik diri daripada meneruskan kerjasama dengan Afjets Sdn Bhd iaitu syarikat penganjur konsert khas sempena ulang tahun ke-35 band itu.

Vokalisnya, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy berkata, keputusan itu dibuat selepas Search kecewa dengan sikap tidak profesional Afjets dalam kemelut membabitkan pemain dramnya, Yazit Ahmad.

"Afjets menjadi punca kemelut yang berlaku antara kami dan Yazit. Sepatutnya mereka bersikap profesional dan dapat mengawal situasi ketika berdepan isu ini.

"Tetapi perkara yang sebaliknya berlaku apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Afjets, Amrul Nizar Anuar mengeluarkan kenyataan mengelirukan sehingga menimbulkan fitnah terhadap Search.

"Kecewa dengan apa yang berlaku, kami mengambil keputusan untuk menarik diri daripada kerjasama ini," kata Amy pada sidang media yang diadakan di Sri Hartamas, di sini, petang tadi.

Turut hadir peguam yang mewakili kumpulan itu, Yusmadi Yusoff.

Baru-baru ini, Yazit membuat laporan polis mendakwa berlakunya pecah amanah dalam pengendalian konsert meraikan ulang tahun ke-35 band itu yang sepatutnya diadakan pada 30 Ogos depan.

Antara lain, Yazit mendakwa tidak menerima bayaran pendahuluan untuk persembahan itu.

Amy berkata, notis pembatalan kerjasama seperti yang tercatat dalam memorandum persefahaman (MoU) sudah dihantar Search melalui firma peguamnya, Fahda Nur & Yusmadi pada 19 Mei lalu.

Beliau berkata, Search bagaimanapun masih bersemangat untuk meneruskan konsert istimewa meraikan ulang tahun band serta mengalu-alukan penaja baharu yang berminat.

Pada sidang media itu, Yusmadi turut mempersoalkan kredibiliti Afjets kerana gagal mematuhi tanggungjawab seperti yang termaktub dalam MoU berhubung pengendalian soal pengurusan dan kewangan Konsert Search 35 tahun.

Mei lalu.

Sementara itu, Amrul Nizar ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai keputusan kumpulan rock itu.

Berita Harian X