Selasa, 5 April 2016 | 6:56pm

Syanie tenang hadapi gosip cerai kali kedua

Syanie dan suaminya, Nadi Putera dikatakan sudah berpisah awal tahun ini.
Syanie dan suaminya, Nadi Putera dikatakan sudah berpisah awal tahun ini.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Syanie, 42, mengaku beliau tidak berdepan sebarang tekanan malah kehidupannya juga tenang saat dikatakan sudah bercerai taklik dengan suami, Nadi Putera Mohd Zainal, 29.

Enggan mengulas lanjut mengenai khabar angin terbabit, Syanie atau nama sebenarnya Syaniza Hisham ketika bercakap BH Online bagaimanapun berkata beliau akan berkongsi juga cerita sebenar apabila tiba masanya nanti.

"Tunggulah masa yang sesuai, nanti saya kongsi. Tetapi kehidupan saya memang okey ketika ini. Saya memang tidak tertekan pun dengan perkara yang tak sepatutnya.

"Kalau ada tekanan sekali pun, ia hanyalah mengenai kerja dan keluarga. Selain itu memang tiada apa-apa. Saya pada masa sama beruntung kerana ada keluarga seperti ibu dan adik yang sentiasa berada di sisi. Tak ketinggalan teman rapat dan pengurus saya," katanya.

Syanie berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin rumah tangganya bersama Nadi Putera sudah berakhir, awal tahun ini.

Bekas peserta MasterChef Selebriti musim kedua itu berkahwin dengan lelaki terbabit pada 1 Mac 2014 di Langkawi selepas 12 tahun hidup menjanda. Sebelum itu, Syanie mendirikan rumah tangga bersama Mohd Attirmidi Abdul pada 1996 dan bercerai pada 2002.

Berita Harian X