Rabu, 10 Februari 2016 | 4:19pm

Edry hasilkan lagu pop futuristik untuk Baby Shima

JUARA Bintang Idola Berita Harian 2010, Baby Shima.
JUARA Bintang Idola Berita Harian 2010, Baby Shima.

KUALA LUMPUR: Juara Bintang Idola Berita Harian 2010, Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 23, nampaknya perlu menunggu buat seketika sebelum dapat menimang cahaya mata sulung.

Penyanyi yang popular dengan lagu Tak Sabar sekitar 2014 itu berkahwin dengan pengurusnya, Mohd Afrendie Affendy, pada Jun tahun lalu.

Menurut wanita muda berkenaan, sehingga kini dirinya belum diberikan rezeki untuk menjadi ibu.

Begitupun, Baby Shima setidak-tidaknya boleh tersenyum bangga apabila single keduanya yang diberi judul Nombor 2 akan menemui peminat tidak lama lagi.

Seperti single pertama, lagu berkenaan yang termasuk dalam genre pop futuristik ialah hasil ciptaan komposer terkemuka, Edry Abdul Halim, yang sememangnya sering tampil bersama karya cepat menangkap perhatian pendengar.

Penyanyi ini mengaku dirinya cukup teruja untuk kembali mewarnai persada seni selepas dua tahun tanpa kemunculan single terkini.

"Atas faktor masa, selain beberapa perkara terjadi kepada negara kita termasuk insiden kehilangan pesawat, banyak perkara terpaksa ditunda. Dalam hal ini kita kena saling menghormati.

"Saya rasakan sekarang ialah masa yang sesuai untuk melancarkan single kedua," katanya kepada BH Online.

Menurut Baby Shima juga, Edry yakin lagu berentak rancak amat serasi dengan dirinya.

"Lagu ini dirakamkan pada hujung tahun lalu dan ia mengambil sedikit masa untuk siap sepenuhnya. Saya percaya, soal kualiti harus diutamakan bagi memastikan mutu vokal dan muzik yang terbaik. Saya juga mahu peminat menikmati dan menyukai lagu ini," katanya.

Artis berasal dari Johor Bahru ini muncul sebagai juara Bintang Idola BH (BIBH) 2010 ketika usianya baru 17 tahun.

Dia juga pernah memegang watak utama dalam telefilem, Ayam Ribut Syawal, yang disiarkan di TV3, Aidilfitri tahun lalu. Selain itu, Baby Shima menyanyikan lagu tema Mawar Putih Tanda Perpisahan, drama terbitan Datuk Rosyam Nor.

Berita Harian X